Awasi Tanda-Tanda Strok


Rasa lemah atau kebas secara tiba-tiba pada muka, lengan serta di sebelah bahagian badan adalah antara gejala seseorang itu berkemungkinan diserang strok atau angin ahmar.

Selain itu, penglihatan juga menjadi kabur secara tiba-tiba pada sebelah atau kedua-dua mata.

Tanda-Tanda Amaran Strok

Strok tidak terjadi begitu sahaja kerana lazimnya terdapat tanda-tanda amaran seperti yang dijelaskan.

Dengan mengenalpasti tanda-tanda ini dan bertindak segera daripada segi perubatan, seseorang individu dapat mengelakkan strok yang akan berlaku ataupun mengurangkan tahap keseriusannya.

Di Malaysia, strok adalah pembunuh yang keempat terbesar selepas kanser dan penyakit jantung. Strok juga penyebab utama ketidakupayaan yang teruk, di mana kos merawat pesakit juga adalah tinggi dan rawatan pemulihan bagi pesakit yang terselamat daripada maut mengambil masa yang panjang serta mahal.

Jenis Serangan Strok

Terdapat dua jenis serangan strok iaitu, strok iskemia dan strok berdarah.

Strok iskemia berlaku apabila darah beku menyekat arteri daripada membekalkan darah ke otak. Biasanya strok iskemia adalah akibat daripada pengumpulan kolestrol dan puing lain di dalam arteri semenjak bertahun-tahun lamanya.

Strok iskemia mungkin disebabkan oleh trombosis serebrum, iaitu apabila darah beku (tombus) terbentuk di dalam arteri utama yang menuju ke otak, menghalang bekalan darah.

Manakala embolisme serebrum berlaku apabila darah beku terbentuk di dalam salur darah di tempat lain dalam badan, contohnya di leher atau di jantung dan bergerak dalam aliran darah ke otak.

Strok berdarah pula terjadi apabila salur darah di dalam otak atau di sekelilingnya pecah dan menyebabkan pendarahan. Penyakit tekanan darah tinggi yang lama dan tidak dirawat memberi memberikan tekanan pada dinding arteri, menyebabkan meningkatnya risiko arteri itu pecah dan seterusnya berdarah.

Strok berdarah kemungkinan disebabkan oleh pendarahan intraserebrum, iaitu apabila salur darah pecah di dalam otak.

Manakala pendarahan subraknoid, iaitu apabila salur darah di permukaan otak berdarah dan darah tersebut meresap ke dalam kawasan di antara otak dan tengkorak yang dikenali sebagai ruang subarakanoid.

Faktor Risiko

Menurut pakar, strok merupakan masalah kesihatan mengancam nyawa yang paling mudah dicegah. Oleh itu, amat penting bagi seseorang mengetahui dan memahami faktor risiko yang boleh menyebabkan strok.

Sesetengah faktor risiko boleh diubah dan sesetengahnya tidak. Mempunyai satu atau lebih faktor risiko yang boleh diubah meningkatkan risiko serangan strok.

Kawalan yang lebih baik terhadap faktor risiko yang boleh diubah dapat mengurangkan risiko strok dengan ketara. Antara faktor yang dikaitkan dengan strok termasuk tekanan darah tinggi, kencing manis, kolestrol tinggi, perokok, diet tidak seimbang dan stres.

Bagaimana Strok Didiagnosis?

Doktor akan melakukan dianogsis klinikal dengan cara mendapatkan sejarah perubatan pesakit diikuti dengan pemeriksaan fizikal.

Selepas itu doktor akan melakukan ujian bersesuaian yang diperlukan untuk merawat pesakit dengan berkesan. Pengimejan menggunakan imbasan tomogafi berkomputer (CT) dan imbasan gema bermagnet (MRI) membantu doktor merawat pesakit.

Kesan Strok

Kesan strok kepada pesakit adalah pelbagai. Keupayaan khusus yang akan hilang atau terjejas akibat strok bergantung pada berapa teruknya otak rosak dan di bahagian mana di otak strok berlaku.

Otak adalah organ yang kompleks yang sangat hebat dan setiap kawasan di dalam otak bertanggungjawab terhadap fungsi atau keupayaan tertentu. Oleh sebab otak mengawal kesemua fungsi badan, maka strok mempunyai potensi menjejaskan semua aktiviti seseorang.

Pemulihan

Pemulihan segera adalah amat penting yangn mana setiap mangsa mesti mendapatkan rawatan pemulihan secepat mungkin. Semakin cepat terapi pemulihan dimulakan, semakin cepat otak mempelajari semula pergerakan yang normal dan kelewatan akan menyukarkan proses pemulihan.

Terapi pemulihan meliputi fisioterapi, terapi cara kerja, terapi pertuturan dan kaunseling.

Pencegahan

Risiko strok boleh dicegah sekiranya seseorang itu mengamalkan gaya hidup sihat. Antaranya melakukan aktiviti fizikal, pengambilan makanan yang sihat, tidak merokok dan sentiasa melakukan pemeriksaan tekanan darah, selain dapatkan khidmat doktor sebelum mengambil pil kontraseptif.

Jika seseorang itu pernah diserang strok, amat penting membuat pemeriksaan perubatan secara tetap supaya tekanan darah, paras kolestrol dan berat badan dapat diawasi.

Lagi info tentang STROK di SINI.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu