Kutil : Penyakit Kulit Lazim


Sebahagian besar daripada tubuh manusia diselaputi kulit. Menurut rencana diterbitkan Artruis Biomedical Network, hampir 16% daripada berat badan manusia membabitkan berat kulit dan bahagian inilah yang sentiasa terdedah kepada persekitaran, kekotoran dan jangkitan, tidak kira sama ada disaluti pakaian atau tidak.

Antara masalah kulit yang paling lazim dihidapi di kalangan kita ialah kutil. Kutil biasanya timbul pada permukaan kaki, di celah jari tangan dan kaki serta siku.

Rencana keluaran Farlex Incorporation, sebuah badan yang menjalankan kajian perubatan, menyebut kutil disebabkan tekanan kuat yang menyepit kulit di antara tulang dengan permukaan lain untuk satu tempoh panjang.

Contohnya, pemakaian kasut ketat ketika berjalan sehingga menyebabkan jari kaki tidak dapat diluruskan dengan selesa. Ini memungkinkan pembentukan tisu di kawasan kulit yang tersepit.

Tisu baru akan mula tumbuh sehingga menjadi lebihan pada permukaan kulit berkenaan dan ia dipanggil kutil yang boleh menyebabkan rasa sakit.

Organisasi terbabit menegaskan, dalam keadaan ini, walaupun kutil berkenaan dibuang atau tekanan tidak lagi dikenakan kepada kulit, pertumbuhan tisu kutil di atas permukaan kulit yang tersepit itu masih berlaku.

Ini bermakna kutil masih boleh tumbuh di atas permukaan kulit, sekalipun tidak memakai kasut ketat, disebabkan permukaan kulit sering berlaga dengan bahagian dalam kasut.

Kadangkala, kasut yang terlalu longgar juga boleh menyebabkan pembentukan kutil kerana permukaan kaki sentiasa menghentak bahagian depan dalam kasut. Apabila kutil mula terbentuk pada permukaan kaki, pergeselan antara lebihan tisu ini dengan bahagian dalam kasut akan menghilangkan rasa sakit pada kawasan kutil berkenaan sedikit demi sedikit.

Sebab-sebab Lain

Selain itu, keracunan toksin seperti arsenik turut menyumbang kepada pembentukan kutil di mana-mana bahagian permukaan kulit mangsa. Begitu juga dengan pesakit siflis, pembentukan kutil pada permukaan kulitnya tidak semestinya disebabkan pemakaian kasut ketat atau gejala kulit yang tersepit untuk tempoh waktu panjang.

Pembentukan kutil juga boleh disebabkan kewujudan bakteria Staphylococcus spp dan Streptococcus spp. Pertubuhan yang mencipta formula herba perubatan, Herbal Remedies USA, menerangkan, pembiakan bakteria ini akan memburukkan lagi keadaan kutil sedia ada.

Persekitaran gelap, lembap dan pengudaraan tidak menyeluruh menjadikan bahagian dalam kasut tempat paling sesuai untuk Staphylococcus dan Streptococcus membiak.

Kutil yang bernanah dan membusuk adalah angkara kedua-dua bakteria ini. Kebiasaannya kutil bermaharajalela di kaki jika memakai kasut bertutup dan kutil juga empat kali lebih mudah menjangkiti kaki wanita berbanding lelaki.

Keadaan ini bukan menunjukkan wanita tidak menjaga kebersihan, tetapi rekaan kasut bertumit tinggi menyumbang kepada pertumbuhan kutil di kaki. Ditambah pula jika si pemakai tidak suka mengenakan stokin, semakin mudah pembentukan kutil terjadi.

Jenis-jenis Kutil

Terdapat beberapa jenis kutil yang mungkin tumbuh di permukaan kulit. Kutil keras ialah lebihan kulit yang keras dan padat di bahagian tengah kutil, yang biasanya tumbuh di sekitar permukaan atas kaki atau tapak kaki.

Kutil lembut adalah lebihan kulit berwarna kemerahan dan licin di bahagian tengahnya. Kutil ini biasanya ditemui pada sisi kaki dan di celah jari. Kelembapan di celah jari menyebabkan kutil ini kekal lembut.

Jenis ketiga dipanggil kutil benih. Bentuknya seperti bukit kecil dengan hujung runcing dan biasanya dijumpai di sekitar tumit kaki.

Merawat Kutil

Rawatan sama akan diberikan untuk membuang lebihan tisu hodoh di permukaan kulit ini, bukan hanya untuk tampak cantik, tetapi penting bagi menjaga kesihatan dan mengelak ia merebak ke bahagian lain.

Epodiatry Australia, organisasi yang menjalankan kajian mengenai kutil dan ketuat, memaklumkan, rawatan menggunakan asid saliksilik adalah perkara biasa bagi mereka yang kerap diserang penyakit kulit ini.

Asid saliksilik berfungsi menghakis permukaan kutil sedikit demi sedikit dan penggunaan berterusan akan mempamerkan kesan lebih cepat untuk membuang kutil.

Namun, masyarakat perlu berwaspada dengan penggunaan asid jenis ini kerana kecenderungan sifat menghakisnya bukan saja mengurangkan saiz kutil, malah jika tidak cermat, ia juga memberi kesan sampingan kepada bahagian kulit sihat.

Berdasarkan panduan Pentadbiran Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (USFDA), masyarakat perlu memastikan label pada botol ubat untuk menghilangkan kutil bertulis 'untuk kutil dan ketuat' atau 'corns and callus remover'.

Cara penggunaan dan penyimpanan juga perlu disertakan sebagai panduan kepada pengguna yang tiada latar belakang sains dan perubatan. Untuk maklumat jelas dan lebih lanjut, berbincang dengan doktor sebelum menggunakan ubat diragui.

Rencana terbitan organisasi itu turut menyatakan, ada juga kes kutil yang teruk sehingga terpaksa melalui pembedahan kecil untuk membuangnya. Membuang kutil sendiri secara tidak profesional di rumah akan memburukkan keadaan kerana persekitaran panas dan lembap akan menggalakkan jangkitan bakteria.

Ditambah pula dengan kelengkapan tidak mencukupi dan cara tidak tepat, kutil mungkin merebak ke bahagian badan lain. Sinar-x juga kadangkala terpaksa dilakukan untuk memerhati struktur tulang yang mungkin menjadi punca utama pembentukan kutil pada permukaan kulit.

Sebaik-baiknya kita mencegah sesuatu penyakit daripada mengubatinya. Untuk memastikan kulit sentiasa sihat, ikuti panduan berikut untuk mengelakkan kulit dari ditumbuhi kutil :

* Pastikan kasut dipakai tidak terlalu ketat atau longgar sehingga menyebabkan ketidakselesaan pada kaki.

* Sentiasa guna stokin jika memakai kasut bertutup.

* Pastikan stokin tidak terlalu ketat atau mempunyai jahitan yang boleh merengsa kulit.

* Jangan biarkan stokin bergumpal-gumpal ketika memakainya kerana ia menggalakkan pertumbuhan bakteria dan memudahkan kulit menerima tekanan dari dalam kasut.

Lagi info tentang KUTIL di SINI.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu