Lupus Nefritis

Tugas buah pinggang tidak sekadar menapis darah dan menyingkir bahan beracun daripada badan, tetapi juga mengekalkan keseimbangan elektrolit, pH dan tekanan darah.

Kehadiran penyakit akan mengganggu kelancaran fungsi buah pinggang dan menjadikan seluruh sistem badan kucar kacir. Inilah juga yang berlaku di kalangan pesakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE), terutama jika penyakit membabitkan buah pinggang yang dipanggil Lupus Nefritis.



Kira-kira 50 hingga 80 peratus pesakit SLE mengalami gangguan pada buah pinggang. Dalam kebanyakan kes, gangguan ini tidak ketara dan tidak menyebabkan masalah. Namun bagi sesetengah pesakit, gangguan ini boleh membawa maut jika tidak dirawat.



Dapatkan produk kesihatan TERBAIK di Kedai SihatSelalu <-- Klik!


Apa Itu Lupus Nefritis

Lupus Nefritis berlaku akibat pemendapan protein (bahan utama sistem pertahanan badan) pada buah pinggang, terutama pada bahagian penapisan darah dan menyebabkan keradangan pada salur darah ke buah pinggang.

Bagaimana pemendapan ini berlaku masih tidak difahami. Namun, keadaan ini menyebabkan buah pinggang tidak dapat menjalankan tugas menapis darah dengan baik. Kesannya, air kencing pesakit akan mengandungi darah dan protein.

Faktor Risiko

Sesiapa saja boleh mendapat penyakit ini pada sebarang umur. Walaupun tidak dikategorikan sebagai penyakit keturunan, individu yang dilahirkan dalam keluarga yang ada SLE berisiko tinggi mendapatnya.

Faktor risiko lain adalah jantina (perempuan sembilan kali lebih berisiko berbanding lelaki), keturunan (khususnya di kalangan orang berkulit gelap seperti Asia dan penduduk asli Amerika) dan kadangkala lupus nefritis muncul selepas melahirkan anak pertama.

Selain itu, tekanan darah pesakit meningkat kerana bahan kumuh yang sepatutnya dibuang melalui air kencing terkumpul dalam darah kerana gagal disingkirkan. Namun, kes ini hanya berlaku pada keadaan yang teruk.

Simptom dan Akibat

Simptom Lupus Nefritis boleh dikesan melalui :

* Air kencing berdarah
* Air kencing berbuih
* Anggota badan jadi bengkak
* Tekanan darah meningkat
* Air kencing mengandungi protein (imunoglubulin)

Tidak seperti SLE yang membabitkan kulit, sendi atau otak, lupus nefritis biasa bersarang dalam diam kerana ia tidak menunjukkan sebarang gejala sehingga buah pinggang mengalami kerosakan.

Ketika ini pesakit biasanya mula mengadu mengalami masalah bengkak kaki dan berat badan bertambah.

Masalah ini dirujuk sebagai pembendungan atau penimbunan cecair dalam badan (retensi) yang juga dipanggil sindrom nefrotik kerana buah pinggang tidak mampu mengeluarkan cecair berlebihan.

Namun, masalah paling kerap berlaku adalah kegagalan buah pinggang. Berdasarkan risalah perubatan terbitan Persatuan SLE Malaysia, masalah buah pinggang pada peringkat teruk akan menyebabkan pesakit berasa cepat letih, hilang selera makan, mual dan muntah.

Pencegahan dan Rawatan

Lupus nefritis berlaku pada kadar 3 kes bagi setiap 10,000 orang. Masalah ini adalah biasa, terutama bagi kanak-kanak yang menghidap SLE.

Jika tidak mendapatkan rawatan, pesakit boleh mengalami gangguan mental dan masalah kesihatan lain yang mungkin meragut nyawanya.

Justeru, pemeriksaan fungsi buah pinggang adalah penting. Proses paling mudah adalah melalui pemeriksaan air kencing dan ujian darah. Analisis air kencing boleh menunjukkan pelbagai tanda keradangan seperti gumpalan darah atau kehadiran protein berlebihan.

Ujian darah pula boleh menunjukkan kandungan bahan kumuh dalam darah jika berlaku kegagalan buah pinggang dan antibodi anti-DNA.

Biasanya pesakit diberikan rawatan untuk memperbaiki fungsi buah pinggang melalui ubat steroid seperti prednisolone atau ubat imunosupressif (contohnya cyclophosphamide) bagi mengurangkan keradangan dan simptom penyakit.

Dos ubat pula bergantung kepada tahap masalah buah pinggang. Sedihnya, hampir 80% pesakit lupus nefritis mengalami kerosakan buah pinggang dan terpaksa bergantung kepada mesin dialisis atau menjalani pembedahan penggantian buah pinggang. Namun, pembedahan tidak disaran jika penyakit dalam keadaan aktif.

Sehingga kini pakar perubatan tidak tahu cara mengelakkan penyakit ini tetapi dengan pengambilan ubat yang teratur, masalah lupus nefritis dapat dikawal dan pesakit boleh menjalani kehidupan normal.


Lagi info tentang LUPUS NEFRITIS di SINI.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu