Barah Hidung Sukar Dikesan


Kelenjar leher bengkak antara simptom NPC (gambar kecil).

oleh Hafizah Iszahanid

Apakah hidung anda sering berdarah? Jika ya, anda berkemungkinan mengalami masalah barah hidung atau 'nasopharyngeal carcinoma' (NPC) yang kerap kali sukar dikesan kerana kedudukannya yang jauh di belakang hidung.


Malah, lazimnya, pesakit hanya dikesan mengidap NPC apabila mendapatkan rawatan akibat masalah kesihatan lain seperti hidung berdarah atau bengkak pada kelenjar di leher. Namun, malang sekali apabila mereka disahkan menghidap NPC pada tahap ketiga.

Barah hidung adalah penyakit yang paling lazim dikesan dihidapi kalangan warga Malaysia. Malah di peringkat global, kaum Bidayuh yang menjadi antara etnik utama Sarawak, terbukti menjadi bangsa paling tinggi dikesan menghidap barah hidung.

Di Semenanjung Malaysia, mereka yang berketurunan Cina dan Melayu lebih kerap didiagnos dengan barah hidung. Masyarakat India, bagaimanapun, amat jarang dikesan mengalami masalah ini.

Barah hidung adalah ketumbuhan yang wujud di nasopharynx iaitu bahagian yang terletak di belakang hidung dan di atas bahagian belakang tekak.

Pada peringkat awal, barah hidung memang sukar dikesan kerana bahagian nasopharnyx payah diperiksa. Lebih sukar lagi, simptom penyakit itu juga menyerupai gejala masalah kesihatan lain.

Pemeriksaan menggunakan kamera khas kaedah utama mengesan NPC.

Ada kalanya juga, pesakit percaya hidung yang berdarah disebabkan suhu badan terlalu panas. Ini menyebabkan mereka tidak berjumpa doktor kerana menganggap masalah itu kecil dan boleh sembuh dengan sendiri.

Bagaimanapun, hidung berdarah hanya satu daripada simptom barah hidung. Lebih membimbangkan, simptom itu ada kalanya menunjukkan barah berkenaan sudah pun berada di tahap akhir.

Rongga belakang hidung yang diserang barah. (gambar)

Di negara Asia Tenggara, NPC mencatatkan antara 5 hingga 15 kes bagi setiap 100,000 penduduk. Manakala di China, terutama di Selatan China, Taiwan dan Hong Kong mencatat 30 kes bagi nisbah jumlah penduduk yang sama.

Simptom dan Faktor Risiko

Pada peringkat awal, NPC tidak menyebabkan sebarang simptom. Bagaimanapun apabila barah itu merebak ke tahap seterusnya, beberapa simptom mula kelihatan.

Katanya, ada beberapa faktor risiko yang dikaitkan dengan serangan NPC. Antaranya jantina. Lelaki berhadapan dengan risiko NPC 2 kali ganda lebih tinggi berbanding wanita. Manakala orang Asia dan Utara Afrika lebih banyak dikesan menghidap NPC.

Satu lagi faktor risiko yang dikaitkan dengan NPC adalah makanan yang diawet dengan kandungan garam yang tinggi, misalnya ikan, itik atau sayur-sayuran.

Selain itu virus Epstein-Barr, virus paling biasa ditemui pada manusia dan hidup di sekitar hidung. Virus ini dikaitkan dengan beberapa jenis barah.

Tahab Barah NPC

Barah NPC tahap 1 bermaksud, barah masih berada dalam hidung. Barah NPC tahap 2 dan 3, ketumbuhan semakin besar dan sudah merebak ke bahagian. NPC tahap akhir, barah masuk jauh ke paru paru, tulang atau hati.

Kerana simptom awal NPC kerap dianggap masalah biasa, kebanyakan pesakit datang ketika sudah berada di tahap kedua dan ketiga.

Mengikut statistik, hampir 54% dikesan dengan NPC selepas mendapatkan rawatan bengkak di leher, 25% ketika berlaku pendarahan pada hidung, 18% kerana masalah kurang pendengaran pada sebelah telinga, 13% kerana menjadi juling dan 12% terasa telinga berdengung.

INFO : Simptom dan Rawatan NPC

Simptom Awal

1. Hidung berdarah, bukan pendarahan yang teruk tetapi kesan darah.
2. Salah satu telinga berdengung.
3. Salah satu hidung tersumbat dan tidak boleh bernafas dengan betul.

Simptom Lewat

1. Bengkak pada leher.
2. Mata juling - barah sudah memasuki bawah otak dan menyerang saraf otak yang mengawal pergerakan mata.
3. Sakit kepala yang kronik.
4. Sakit pada tulang kaki atau belakang (tahap empat).Rawatan

Rawatan

1. Radiasi - memusnahkan sel barah dengan cepat. Namun ada kesan sampingan yang bersifat sementara, misalnya hilang pendengaran, mulut yang kering atau sukar menelan.

2. Kemoterapi - bertindak memusnahkan sel dengan pantas tetapi seperti diketahui ia juga mungkin memusnahkan sel yang sihat berdekatan sel yang terjejas. Kemoterapi bertindak merawat NPC dengan tiga cara, digunakan bersama-sama terapi radiasi, digunakan selepas terapi radiasi atau sebelum terapi radiasi.

3) Pembedahan - bukan rawatan yang kerap dipilih untuk menangani NPC. Bergantung pada keadaan pesakit, doktor akan menilai rawatan terbaik dengan peratusan untuk pulih yang memihak kepada pesakit.


Lagi info tentang BARAH HIDUNG di sini.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu