Glaukoma Tiada Penawar

Pandangan mereka yang mengalami glukoma.

oleh Hafizah Iszahanid

Kebanyakan faktor penyakit sering dikaitkan dengan sejarah kesihatan keluarga. Bagaimanapun, di negara ini dan di kebanyakan negara Asia, sejarah perubatan keluarga ada kalanya tidak lengkap.

Sejarah perubatan mengenai masalah mata misalnya, jarang diberi perhatian apabila ramai yang tidak tahu mereka berisiko diserang glaukoma kerana tiada anggota keluarga sebelum ini mendapat rawatan.


Berbeza dengan katarak, glaukoma adalah penyakit yang diwarisi dan boleh terjadi kepada mereka yang mengalami trauma pada mata. Paling utama, tiada ubat untuk glaukoma dan ia boleh menyebabkan buta.



Dapatkan produk kesihatan TERBAIK di Kedai SihatSelalu <-- Klik!


Glaukoma penyakit yang progresif. Biasanya seseorang itu hanya menyedari mengalaminya selepas penyakit itu pada tahap akhir. Pada waktu itu, tidak banyak yang boleh dibantu kerana saraf matanya sudah rosak dan tidak boleh dipulihkan.

Pencuri Senyap

Jika katarak boleh sembuh dengan pembedahan, tetapi tidak pada glaukoma. Glaukoma hanya boleh dirawat tetapi tidak akan sembuh. Walaupun pembedahan boleh dilakukan tetapi ia tidak banyak membantu.

Ramai orang tidak menyedari mereka berhadapan dengan glukoma. Ia selalu dirujuk sebagai pencuri senyap kerana kerap kalinya tekanan di dalam mata menjejaskan penglihatan tanpa simptom yang jelas. Glaukoma bukan satu entiti penyakit tetapi sekumpulan masalah mata yang secara perlahan-lahan menjejaskan penglihatan.

Akhirnya, tanpa rawatan, glaukoma boleh menyebabkan buta berikutan kerosakan pada saraf optik.

Mata yang mengalami glaukoma.

Glaukoma menyebabkan saraf optik di belakang mata rosak perlahan-lahan. Bagi kebanyakan orang, peningkatan tekanan dalam mata menjadi punca dan menyebabkan sekatan pada pusingan cecair (aqueous) dalam mata.

Bagi pesakit lain pula, kerosakan itu mungkin berpunca daripada kekurangan bekalan darah kepada saraf fiber optik utama, kelemahan pada struktur saraf atau masalah pada saraf fiber itu sendiri.

Data Seluruh Dunia

Mengikut data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 4.5 juta orang di seluruh dunia menjadi buta disebabkan glaukoma dan angka ini dijangka meningkat kepada 11.2 juta pada 2020.

Namun, angka ini disifatkan sebagai tidak tepat kerana di seluruh pelusuk dunia, terutama di negara miskin, tidak ramai yang tahu dan tampil untuk membuat pemeriksaan mata atau menerima rawatan untuk glaukoma.

Dianggarkan 60.5 juta orang akan mengalami glaukoma pada 2010, dengan jumlah warga tua yang meningkat. Glaukoma dijangka menyerang 80 juta orang pada 2020.

Glukoma progres sifatnya, menyebabkan hampir 50% mereka yang didiagnos dengan glukoma tidak pernah menyedari simptom yang dialami. Biasanya, glaukoma dikesan pada usia 50 tahun ke atas.

Di Malaysia, glaukoma yang paling biasa adalah jenis glaukoma terbuka. Glaukoma jenis ini dikaitkan dengan peningkatan tekanan cecair di dalam mata. Ia mungkin menyebabkan kerosakan pada saraf optik dan akhirnya buta.

Tiada Ubat

Setakat ini, tiada ubat untuk glukoma tetapi pemeriksaan awal terutama bagi mereka yang lahir dalam keluarga yang mengalami glaukoma boleh dilakukan pada usia 30 tahun ke atas.

Oleh kerana tiada ubat menyembuhkannya, rawatan yang diberi hanyalah titisan ubat mata yang perlu digunakan sepanjang hayat. Ia bertujuan mengelak kebutaan. Namun, prekripsi ubat-ubatan banyak bergantung pada keadaan pesakit itu.

Jenis-jenis Glaukoma

Glaukoma utama

* Glaukoma sempit (narrow angle glaucoma)
* Glaukoma terbuka (primary open angle glukoma - POAG)
* Glaukoma tekanan normal (normal pressure glaucoma)

Glaukoma sekunder

* Glaukoma pseudoexfoliative (glukoma yang disebabkan sindrom gangguan berkaitan penuaan)
* Glaukoma pigmentary (glukoma yang disebabkan pengumpulan pigmen iris berlebihan)
* Glaukoma yang disebabkan trauma
* Glaukoma neovaskular (berikutan komplikasi masalah diabetes misalnya)
* Glaukoma konjenital (di kalangan bayi dan dikesan sejak lahir)

Siapa Yang Berisiko Mengalami Glaukoma

+ Mereka yang berusia 50 tahun ke atas
+ Sejarah keluarga dengan glukoma
+ Merokok
+ Trauma pada mata
+ Mereka yang menderitai diabetes, tekanan darah tinggi
+ Rabun jauh

Simptom

Glaukoma terbuka

* Lihat penglihatan perlahan-lahan (peripheral) selalunya membabitkan kedua-dua mata
* Penglihatan sehala seakan terowong pada tahap yang teruk (tunnel vision)

Glaukoma sempit

* Sakit mata yang serius
* Muntah dan pening diikuti dengan sakit mata
* Penglihatan kabur
* Mata merah


Lagi info tentang GLAUKOMA di sini.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu