Kain Lap Tercemar Dengan Bakteria


Oleh Hafizah Iszahanid

Kajian kebersihan rumah yang dilakukan Majlis Kebersihan Asia (MKA) mendapati, kain lap meja yang digunakan di dapur, adalah punca utama pencemaran di Malaysia.

Kajian itu mengambil contoh 1,200 spesimen daripada 140 rumah membabitkan 7 negara yang merangkumi bilik mandi, sinki dapur, kolam mandi di bilik air, anak patung, paip air di dapur, peti sejuk, kain lap meja dan permukaan dapur.

Daripada jumlah itu, kain lap meja didapati tercemar 100%, diikuti paip air di dapur (95%), bilik mandi (85%) selain mainan kanak-kanak (65%). Secara keseluruhannya, Malaysia menduduki tangga pertama sebagai rumah paling tercemar diikuti India.

Kebanyakannya dicemari oleh bakteria E coli diikuti Salmonella yang membawa komplikasi kesihatan seperti cirit-birit dan keracunan makanan.


Bakteria seperti E coli lebih mudah merebak kerana kanak-kanak tidak membasuh tangan dengan betul selepas bermain dengan barangan mainan. Selain itu, penyedia makanan juga tidak membasuh tangan dengan betul ketika menyediakan makanan.

Gunakan Sabun

Membasuh tangan mengambil masa 20 saat dengan sabun dan bukan hanya membasahkan tangan.

Kanak-kanak adalah 'takungan' jangkitan ini kerana mereka berinteraksi dengan kanak-kanak lain yang dicemari bakteria sebelum menjangkiti ahli keluarga.

Dalam satu laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2007, seramai 1.8 juta orang meninggal dunia setiap tahun di seluruh dunia kerana masalah bekalan air bersih, sanitasi dan tahap kebersihan yang tidak memuaskan.


Dua pertiga daripadanya tinggal di Asia dengan 90% daripada jumlah itu adalah kanak-kanak berusia bawah 5 tahun.

Permukaan dapur mudah menjadi pusat penyebaran bakteria apabila kain lap yang digunakan bagi membersihkan permukaan dapur tercemar dengan bakteria. Bakteria seperti E Coli dan Salmonella, kemudian menjadi punca masalah gastrousus seperti cirit-birit yang serius, selain masalah cacing.

Kesan Pencemaran E Coli

E coli mudah ditemui di mana-mana. Tanpa penjagaan kebersihan yang betul, E coli selain Salmonella boleh menjadi punca masalah. Bagaimanapun, sistem badan membekalkan vitamin K menjadikan kebanyakan orang boleh mengatasi serangan E coli.

Bagaimanapun, sesetengah jenis E coli seperti jenis 0157 boleh mendatangkan masalah. Kanak-kanak dan golongan berusia selalunya bermasalah dengan jenis ini. Biasanya ia boleh ditemui dalam usus (sama ada manusia atau haiwan) dan boleh berjangkit jika seseorang itu memakan atau minum minuman yang tercemar.

Bakteria boleh melata dan terbahagi setiap 20 minit. Satu sel bakteria boleh menjadi 8 juta sel dalam tempoh kurang 24 jam.


Punca Penyebaran

1) Makanan yang tercemar - biasanya dikaitkan dengan daging (lembu, ayam atau ikan) yang tidak dimasak dengan sempurna atau disediakan secara mentah tanpa dibasuh dengan sempurna. Ia boleh juga disebabkan sayur-sayuran dan buah-buahan yang tidak dibersihkan dengan betul. Memakan ulam atau salad yang tidak bersih juga antara punca utama jangkitan E coli.

E coli juga boleh merebak dari satu permukaan ke permukaan yang lain melalui kain lap atau peralatan menyediakan makanan yang tidak dibasuh dengan baik sebelum dan selepas digunakan. Makanan kering juga tidak terkecuali daripada jangkitan E coli.

2) Minuman yang tercemar - misalnya air daripada punca yang tercemar seperti sungai, tasik atau mungkin juga air takungan. Kadang kala air bersih tercemar kerana bekas takungan yang dicemar.

3) Jangkitan daripada manusia kepada manusia lain - mudah tersebar terutama daripada kanak-kanak yang dijangkiti kepada golongan dewasa. Apatah lagi jika kanak-kanak tidak diajar membersihkan tangan dengan betul.

4) Pakaian yang kotor - secara purata sebuah mesin basuh boleh mengandungi 100 juta E coli untuk satu masa. Mikrob ini boleh berpindah daripada pakaian yang dicemari kepada pakaian yang tidak dicemari dalam mesin basuh. Selalunya hanya sebahagian daripada mikrob ini tersingkir ketika dibilas. Anda seharusnya membasuh tangan setiap kali selepas membasuh pakaian.


Simptom

* Cirit-birit dengan kadang kala disertai darah

* Sakit perut (kejang perut)

* Demam (kadang kala)

* Ada juga yang muntah atau sakit kepala

Cara Menjaga Kebersihan

Basuh tangan sebelum menyediakan makanan, minuman, memakai atau menanggalkan kanta lekap, selepas menyalin lampin bayi dan membasuh pakaian.

Basuh tangan selepas keluar daripada bilik air, membuang hingus, bermain dengan binatang peliharaan atau membuang sampah.

Basuh tangan dan gunakan sabun cecair bukan sabun buku (ketul) yang lebih mudah dicemari bakteria.


Lagi info tentang E COLI di sini.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu