Penggantian Hormon Wanita

Terapi gantian hormon dapat mengembalikan keintiman hubungan suami isteri di kalangan warga emas.

Secara biologi, apabila wanita menjangkau usia melebihi 40-an, fungsi ovari akan menurun dan seterusnya hormon estrogen akan tergugat.

Lama-kelamaan paras estrogen akan menurun ke satu tahap di mana hormon tersebut tidak lagi berupaya menyediakan lapisan dalaman rahim untuk persedian kehadiran janin, menyebabkan kehadiran haid akan berhenti dan pada titik inilah bermulanya keadaan menopaus.

Tidak perlu runsing atau panik kerana ini adalah satu kitaran biologi yang normal untuk seorang wanita.

Kekurangan hormon estrogen juga akan menyebabkan wanita mengalami panas-panas badan serta kekeringan faraj. Tulang turut mengalami kerapuhan. Atas dasar inilah, rawatan penggantian hormon estrogen mungkin diberikan kepada wanita.

Sebelum rawatan penggantian hormon dimulakan, adalah lebih baik sekiranya anda mengetahui aspek-aspek hormon estrogen seperti :

* bagaimana rawatan hormon ini berfungsi
* jenis-jenis rawatan hormon
* kebaikan dan juga risiko-risiko yang mungkin dihadapi.

Hormon

Selain daripada hormon estrogen dan progesteron, ovari juga mengeluarkan hormon testosteron, yang juga dikenali sebagai hormon lelaki (androgen), yang dihasilkan oleh testis pada kaum adam. Tujuan hormon ini sebagai pengutus nafsu syahwat.

Ovari mengeluarkan hormon estrogen dari akil baligh hinggalah ke menopaus. Estrogen menyebabkan seseorang menjadi seorang wanita, iaitu perubahan setiap bulan dengan kehadiran darah haid. Estrogen juga memberikan implikasi pada tulang serta kesihatan jantung dan juga salur-salur darah.

Estrogen hadir sepanjang kitaran haid dan menyebabkan lapisan dalam rahim yang dikenali sebagai endometrium menebal sebagai persedian untuk menerima janin.

Menopaus

Jumlah hormon estrogen menurun dengan kematangan umur. Lama-kelamaan paras hormon ini terlampau sedikit sehinggakan tidak lagi memberikan pengaruhnya pada lapisan dalaman rahim. Apabila lapisan ini tidak lagi terbentuk dan juga menebal, haid terhenti dan menopaus berlangsung.

Umur di mana ovari wanita bercelaru fungsinya adalah di antara julat umur 45 hingga 55 tahun. Umur purata di mana wanita akan mengalami haid terakhir mungkin pada umur 50 tahun.

Sekiranya seseorang wanita terpaksa melalui pembedahan yang melibatkan pembuangan kedua-dua ovari, rungutan menopaus akan dialami lebih awal dan lazimnya rungutan tersebut datang mendadak akibat dari penurunan paras hormon yang berlaku secara tiba-tiba.

Rawatan penggantian hormon wanita bergantung kepada sama ada wanita masih lagi mempunyai rahim ataupun tidak kerana sekiranya hormon estrogen diberikan secara tunggal dan berlarutan, ini akan menyebabkan lapisan dalaman rahim (endometrium) menebal dan terus menebal, meningkatkan risiko kehadiran barah rahim.

Sebab itulah, hormon wanita kedua iaitu hormon progesteron dibekalkan bersama supaya penebalan ini berlaku secara terkawal.

Tujuan Rawatan Penggantian Hormon

Dengan penurunan paras hormon wanita estrogen, wanita akan mengalami pelbagai rungutan seperti panas-panas badan, kekeringan faraj dan juga kerapuhan tulang.

Rawatan penggantian hormon (HRT) boleh diberikan setelah penelitian kesihatan dibuat dan jika difikirkan perlu supaya wanita dapat menjalani kehidupan harian dengan aman.

Doktor akan meneliti perkara-perkara berikut :

* umur apabila menopaus berlaku
* risiko untuk mendapat kerapuhan tulang
* rungutan yang diluahkan
* sejarah kesihatan diri dan juga keluarga

Panas Badan

Panas-panas badan merupakan satu keadaan ataupun perasaan kepanasan yang berlaku dari atas pusat hingga ke muka, dan kehadirannya secara spontan, tiba-tiba, mungkin dari beberapa saat sehinggalah ke beberapa minit.

Muka akan menjadi merah dan juga berpeluh. Anda tidak perlu runsing kerana 75% wanita menopaus akan mengalami gejala rungutan ini. Mungkin kehadiran panas-panas badan dan muka berlaku beberapa kali sehari dan kehadirannya pada waktu malam mungkin akan mengacau keamanan tidur.

Kekeringan Faraj

Organ-organ reproduksi wanita dipengaruhi oleh hormon estrogen. Faraj juga akan berubah. Lapisannya akan menjadi nipis dan kering. Kenikmatan hubungan kelamin juga tergugat akibat daripada lubrikasi (pelinciran) yang kurang berkesan dan mencetuskan rasa sakit.

Selain itu, apabila faraj menjadi nipis serta kering, jangkitan kuman lebih mudah berlaku. Sistem perkumuhan (salur kencing) juga dipengaruhi oleh hormon estrogen. Salur uretra (salur yang menyambungkan pundi kencing ke luar) menjadi kering, mengalami keradangan dan juga merah-merah.

Kekerapan ke tandas berlaku untuk membuang air kencing mungkin semakin ketara. Risiko jangkitan kuman pada pundi kencing juga meningkat.

Osteoporosis

Estrogen merangsang sel osteoblas yang membentuk tulang. Apabila hormon ini semakin kurang, kerapuhan tulang berlaku. Kerana itulah wanita yang berumur lebih mudah patang tulang terutamanya pada bahagian pinggang, tulang belakang serta pergelangan tangan.

Penggantian hormon estrogen memperlahankan proses kerapuhan tulang. Hormon ini juga membantu penyerapan zat kalsium yang diperlukan oleh tulang.

Anda juga perlu melakukan senaman badan seperti berjalan atau joging, yang mana senaman ini menguatkan otot-otot dan juga tulang.

Doktor akan memberi preskripsi penggantian hormon estrogen pada dos yang sesuai dengan niat perawatan sesingkat yang mungkin.

Risiko

Tidak ada rawatan yang dikecualikan dari risiko komplikasi serta kesan sampingan. Perlu diingatkan bahawa penggunaan bersama hormon progesteron dikaitkan dengan kanser payudara serta kehadiran haid seperti haid bulanan terdahulu.

Untuk wanita yang sudah berumur dan tidak mahu disusahkan dengan kehadiran haid, tentu tidak begitu gemar dengan kaedah perawatan ini.

Di Amerika, yang mana banyak kajian-kajian berkaitan dengan rawatan penggantian hormon dijalankan, kebimbangan yang diakibatkan telah memaksa Pentadbiran Makanan dan Perubatan Amerika Syarikat (FDA) memastikan kesemua ubat-ubatan yang akan digunakan oleh wanita menopaus, khasnya yang mengandungi hormon estrogen, perlu diletakkan label amaran yang penggunaan berlanjutan hormon estrogen menambahkan risiko sakit jantung, strok, pembekuan darah dan juga kanser payudara.

Oleh itu, pemantauan oleh doktor amatlah perlu.

Perlu ditekankan di sini yang kebimbangan serta risiko ini berkait rapat dengan waktu permulaan perawatan dimulakan setelah menopaus berlaku. Maknanya mereka yang telah pun menopaus lebih dari 15 tahun mempunyai risiko serta kebimbangan yang tinggi akan kesan-kesan rawatan hormon penggantian berbanding dengan wanita yang mengambil rawatan apabila baru sahaja hadir menoposnya.

Perlu ditegaskan di sini yang dos yang diperlukan haruslah seminimum mungkin dan dipreskripsikan untuk julat masa sesingkat yang mungkin.

Sekiranya hanya kekeringan faraj yang diutarakan, tanpa jelas kehadiran rungutan-rungutan lain, krim atau produk-produk lain yang hanya membetulkan keadaan tersebut digunakan. Lazimnya ubat sedemikian dimasukkan ke dalam faraj.

Aplikasi HRT

Sekiranya puan masih mempunyai rahim, kombinasi ubat hormon estrogen dan progesteron digunakan. Ada banyak bentuk rawatan hormon penggantian, yang lazim digunakan di Malaysia adalah dalam bentuk pil untuk dimakan.

Cara-cara lain seperti dimasukkan ke dalam faraj dan juga ada tampalan yang digunakan pada kulit. Pecahan hormon yang diberikan:

Rawatan menggunakan hormon estrogen sahaja.
Hormon ini diberikan setiap 25 hari dalam sebulan, disebabkan hanya hormon estrogen digunakan, pendarahan mungkin berlaku.

Rawatan yang menggabungkan kedua-dua hormon estrogen dan progesteron.
Kedua-dua hormon diambil bersama setiap hari. Biasanya untuk beberapa bulan. Mungkin berlakunya sedikit pendarahan tetapi majoriti dalam masa setahun, pendarahan akan berhenti.

Rawatan secara berkala.
Hormon estrogen diambil selama 25 hari dan hormon progestron ditambahkan pada hari-hari tertentu. Hari-hari tersebut mungkin berubah mengikut kesesuaian sosial. Pendarahan berlaku pada hari di mana hormon progesteron tidak diambil.

Kaedah Perawatan Lain

Ada banyak produk di pasaran berkaitan dengan menopaus seperti ubat antikemurungan, produk herba dan juga produk 'bio-identiti'.

Untuk produk-produk ini, tidak banyak data saintifik yang menyokong penggunaannya. FDA tidak menyenaraikan ubat-ubat produk herba dan juga bio-identiti dalam persetujuan perawatan menopaus.

Rawatan Susulan

Anda perlu akur serta patuh pada arahan doktor yang merawat menopaus. Pastikan yang anda memberitahu doktor apa-apa sahaja kelainan kesihatan yang berlaku seperti pendarahan faraj dan sebagainya.

Pada setiap lawatan susulan, berbincanglah dengan doktor sama ada rawatan penggantian hormon ini perlu diteruskan.

Ikuti apa-apa penyiasatan penentuan kesihatan seperti mammogram, tekanan darah, pemeriksaan payudara dan juga pemeriksaan pinggul seperti ujian saringan PAP dan sebagainya emngikut arahan doktor. Biopsi lapisan endometrium mungkin perlu dijalankan sekiranya anda mengalami pendarahan semasa perawatan hormon penggantian.

Bukan semua wanita memerlukan hormon penggantian. Sebelum menggunakannya, berbincanglah dahulu dengan doktor yang merawat. Buatlah kajian sendiri melalui internet dan sebagainya untuk makluman diri dan juga lebih mudah memahami penjelasan doktor.

Jangan merawat rungutan berkaitan menopaus sesuka hati tanpa pemeriksaan kesihatan dari doktor terlebih dahulu.


Lagi info tentang HORMON WANITA di sini.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu