Batuk Kokol


Batuk kokol merupakan salah satu penyakit kanak-kanak yang paling berbahaya, terutamanya bagi bayi bawah umur 12 bulan. Penyakit ini berpunca daripada bakteria bordatella pertussis yang menyebabkan saluran udara berlendir dan tersumbat.

Batuk kokol bermula sebagai selesema biasa yang disertai batuk. Batuk menjadi semakin teruk dan serangan batuk yang spasmodik menyebabkan anak sukar bernafas. Apabila anak anda menarik nafas selepas serangan batuk, nafasnya kedengaran berbunyi "whoop" semasa udara melalui larinks yang bengkak.

Bagi bayi, pernafasan adalah semakin sukar kerana anak gagal mempelajari teknik menyedut udara dan keadaan ini boleh membawa maut. Kadangkala anak akan muntah selepas serangan batuk. Batuk ini boleh berlanjutan sehingga 10 minggu. Risiko mendapat jangkitan sekunder seperti pneumonia atau bronkitis sangat tinggi selepas penyakit tersebut.

Oleh itu, pastikan anak mendapat suntikan imun terhadap penyakit ini. Namun, ada kanak-kanak yang perlu dimasukkan dalam kategori khas dan tidak boleh diberi suntikan tersebut. Misalnya, kanak-kanak yang ada sejarah epilepsi dalam keluarga mereka. Dapatkan nasihat doktor.

Tanda-tanda

* Tanda-tanda selesema iaitu demam, hidung berhingus, rasa sengal dan sakit-sakit.

* Batuk teruk yang mempunyai bunyi "whoop" semasa anak menarik nafas.

* Muntah selepas serangan batuk.

* Tidak boleh tidur kerana batuk.

Apakah Tindakan Pertama?

1. Jika selesema anak tidak sembuh dan batuknya semakin teruk, bawanya berjumpa doktor.

2. Jika anda mengesyaki anak dijangkiti batuk kokol, bawa anak anda berjumpa doktor dengan segera.

3. Jika anda mengesyaki anak menghidap batuk kokol, jangan biar dia pergi ke sekolah atau tadika sebelum membawanya berjumpa doktor terlebih dahulu.

4. Jika anak anda mengalami serangan batuk yang berterusan, dudukkan anak dan pegang anak supaya badannya menjengah sedikit ke depan. Pegang mangkuk dekat mulutnya supaya dia boleh meludahkan kahak ke dalam mangkuk.

Perlukah Saya Berjumpa Doktor?

Bawa anak anda berjumpa doktor dengan segera jika anda mengesyaki anak dijangkiti batuk kokol.

Apakah Tindakan Doktor?

+ Doktor mungkin memberi antibiotik untuk meredakan batuk dan mengurangkan jangkitan. Namun, batuk kokol sukar dilakukan diagnosis semasa peringkat permulaan jangkitan dan ubat yang perlu diambil hanya berkesan jika diambil pada peringkat awal. Doktor mungkin perlu melakukan sapuan tekak untuk membuat diagnosis batuk kokol kerana bayi jarang sekali menghasilkan bunyi "whoop".

+ Doktor akan melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa dan jika penyakit ini teruk, dia akan mengesyorkan bayi dimasukkan ke hospital untuk mengelak berlakunya penyahhidratan. Jika perlu, anak anda akan diberi oksigen.

+ Doktor akan menunjukkan cara memegang anak semasa berlaku serangan batuk. Dia mungkin mengesyorkan supaya hujung kot bayi dinaikkan sedikit dan anak anda dibaringkan secara meniarap.

Bagaimana Saya Boleh Membantu?

* Semasa serangan batuk, pegang anak dan tenangkannya. Panik akan menyebabkan nafas anak semakin sesak. Pegang mangkuk di bawah dagunya supaya dia boleh meludahkan kahak.

* Letak mangkuk di setiap bilik di dalam rumah supaya anak boleh membuang kahak atau muntah tanpa perlu pergi ke tandas. Basuh mangkuk dengan air didih untuk mengelak daripada merebaknya jangkitan.

* Jika anak anda muntah selepas serangan batuk, beri dia sedikit makanan dan minuman. Ini akan mengembalikan semula tenaga anak.

* Jangan biar anak melakukan aktiviti yang berat semasa dia sedang pulih kerana ini akan menggalakkan serangan batuk dan meletihkannya.

* Jauhkan anak dari asap rokok.

* Tidur bersama anak supaya dia tidak keseorangan semasa serangan batuk berlaku.

* Jangan beri anak sebarang ubat batuk tanpa nasihat doktor.

* Jika batuk kokol anak sudah sembuh tetapi anak masih kelihatan tidak sihat dan sukar bernafas, bawanya berjumpa doktor dengan segera. Ini kerana anak mungkin menghidap jangkitan sekunder seperti pneumonia atau bronkitis.

* Jangan risau jika anak anda menghasilkan bunyi "whoop" apabila dia menghidap selesema selepas itu. Ini bukannya ulangan batuk kokol. Anak anda hanya mengulangi tingkah laku yang dipelajarinya semasa serangan batuk dahulu.


Lagi info tentang BATUK KOKOL di sini.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu