Demam Campak Berjangkit


Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan demam campak masih menjadi antara pembunuh utama kanak-kanak kecil, walaupun vaksin pencegahan yang berkesan sudah lama ada.

Tahun lalu (2008) saja 197,000 kes kematian akibat demam campak di seluruh dunia atau hampir 540 kematian sehari atau 22 kematian setiap jam.

Lebih 95% kematian akibat demam campak berlaku di negara miskin yang kekurangan infrastruktur kesihatan. Vaksin demam campak dapat meningkatkan tahap kesihatan masyarakat secara keseluruhan dengan pengurangan 74% kematian di seluruh dunia dari tahun 2000 hingga 2007.

Pada 2007, kira-kira 82% kanak-kanak di seluruh dunia menerima satu dos vaksin campak sebelum berumur setahun melalui rutin perkhidmatan kesihatan — peningkatan 10% berbanding pada 2000.

Untuk mendapat imuniti (perlindungan sepenuhnya) terhadap penyakit, setiap kanak-kanak memerlukan 2 dos vaksin kerana hampir 15% tubuh kanak-kanak gagal membentuk imuniti daripada dos pertama.

Dalam sejarah, demam campak pernah dipanggil pembunuh utama kanak-kanak. Walaupun vaksin campak ada sejak 30 tahun lalu, virus campak masih menjangkiti 50 juta kanak-kanak di seluruh dunia.

Tanda dan Gejala

Virus demam campak mengambil masa 7 hingga 14 hari (purata 10 hingga 11 hari) untuk membiak dalam badan sebaik ia menjangkiti seseorang.

Tempoh pembiakan ini dipanggil tempoh inkubasi dan ia boleh menjangkiti orang lain sebelum pesakit pertama mengalami gejala awal seperti ruam.

Gejala awal ini bagaimanapun boleh timbul daripada hari pertama selepas tempoh inkubasi. Gejala awal yang juga dikenal sebagai gejala 3C iaitu batuk (cough), koriza atau selesema dalam kepala (coryza) dan sakit mata (conjunctivitis).

Pesakit juga akan mengalami demam dan menjadi sensitif terhadap cahaya (fotofobia). Kebanyakan gejala biasanya menjadi lebih teruk selama 3 hingga 4 hari sebelum kemunculan bintik-bintik merah campak.

Jika anda perhatikan, bintik merah ini mempunyai pusat berwarna putih kebiruan (juga dipanggil bintik Koplik) biasanya muncul dalam masa 24 hingga 48 jam dan berlanjutan sehingga 2 hingga 4 hari.

Bintik merah ini yang mempunyai garis pusat 0.1 hingga 1 sentimeter, biasanya akan muncul bermula dari muka dan belakang telinga. Dalam masa 24 hingga 36 jam dari kemunculan ruam, ia merebak ke seluruh badan dan hujung tangan serta kaki.

Pada peringkat awal, bintik ini berwarna merah gelap dan menjadi semakin terang dan jelas dalam masa 3 hari. Kemudian ia menjadi pudar perlahan-lahan daripada keunguan kepada kuning kecoklatan selepas 5 hingga 10 hari.

Aturan gejala campak adalah dalam turutan:

Hari 0 hingga 1 : Ruam

Hari 2 hingga 3 : Bintik merah (koplik)

Hari 4 hingga 5 : Ruam campak (timbul)

Hari 6 : Bintik koplik mula pudar

Hari 7 hingga 8 : Ruam menjadi sangat ketara

Hari 10 : Ruam mulai menghilang

Siapa Yang Berisiko Mendapat Campak?

Kanak-kanak kecil yang tidak diberi vaksin campak mempunyai risiko paling tinggi. Mereka juga berdepan komplikasi campak yang teruk, termasuk kematian.

Mana-mana individu yang tidak imun (sama ada tidak pernah mendapat vaksin atau baru sembuh daripada demam campak) juga boleh dijangkiti.

Penyakit ini boleh menjadi wabak yang membunuh di negara yang mengalami bencana alam atau peperangan. Kemusnahan infrastruktur dan perkhidmatan kesihatan akan mengendalakan rutin imunisasi; meningkatkan risiko jangkitan kepada penduduk yang terpaksa tinggal bersesak di kem perlindungan.

Jangkitan

Virus demam campak sangat mudah berjangkit melalui batuk, bersin dan sentuhan, terutama pada cecair hidung atau mulut individu yang dijangkiti. Virus ini akan kekal aktif dan boleh berjangkit walaupun terapung-apung di udara atau ada di atas mana-mana permukaan selama 2 jam.

Virus ini boleh dipindahkan kepada orang lain 4 hari lebih awal sebelum pesakit mengalami gejala pertama atau 4 hari selepas ruam muncul. Jika berlaku wabak, demam campak boleh menyebabkan banyak kematian, khususnya di kalangan kanak-kanak kecil dan tidak cukup zat.

Di negara yang dapat mengatasi penyakit ini, kes demam campak biasanya kes 'import' iaitu dibawa oleh penduduk negara lain yang menjadi punca jangkitan di sana.

Sesetengah kajian menunjukkan vaksin ini hanya boleh memberi perlindungan kepada individu yang mudah dijangkiti jika vaksin itu diberi 72 jam selepas terdedah kepada jangkitan.

Komplikasi

Antara komplikasi yang dialami pesakit akibat demam campak ialah:

* Cirit-birit
* Jangkitan telinga
* Pneumonia (radang paru-paru)
* Keradangan otak
* Sawan
* Kematian

Kira-kira 20% daripada kes demam campak yang dilaporkan mempunyai satu atau lebih komplikasi. Komplikasi ini lebih lazim pada pesakit kanak-kanak berusia kurang dari 5 tahun atau orang dewasa melebihi 20 tahun.

Ia menyebabkan jangkitan telinga pada satu daripada 10 kanak-kanak yang menghidap demam campak. Satu daripada 20 kanak-kanak yang demam campak mengalami radang paru-paru dan satu daripada 1,000 kes mengalami keradangan otak.

Keradangan otak ini boleh menyebabkan sawan dan kanak-kanak boleh menjadi pekak atau terencat akal. Lebih menyedihkan, satu atau dua daripada 1,000 kanak-kanak yang mengalami demam campak meninggal dunia.

Rawatan

Komplikasi serius boleh dielak melalui penjagaan rapi dengan mendapat makanan berzat, cukup air dan rawatan dehidrasi (bagi menggantikan cecair serta garam galian yang hilang daripada cirit-birit dan muntah).

Doktor akan memberi antibiotik untuk merawat jangkitan mata, telinga dan paru-paru — yang mesti dihabiskan semuanya.

Pencegahan

Demam campak boleh dicegah dengan suntikan vaksin kepada kanak-kanak, terutama di negara yang banyak kes dan tinggi kadar kematian akibat penyakit ini.

Vaksinasi kanak-kanak menjadi kunci kesihatan masyarakat kerana ia secara tidak langsung boleh mengurangkan kematian kanak-kanak dan orang dewasa. Vaksin campak adalah murah, selamat dan berkesan.

Ada ibu bapa bimbang apabila tercetus kontroversi kononnya vaksin MMR (campak, beguk dan rubela) boleh menyebabkan masalah autisme pada kanak-kanak.

Sebenarnya ia tiada kaitan langsung. Kajian di United Kingdom mengesahkan, virus atau tahap antibodi campak yang dikesan pada kanak-kanak autisme dan normal (kumpulan kawalan) tidak berbeza, sama ada mereka mendapat satu atau dua dos vaksin MMR.

Jadi jangan perjudikan kesihatan anak anda hanya kerana kebimbangan tidak berasas ini.


Lagi info tentang DEMAM CAMPAK di sini.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu