Gangguan Obsesif Kompulsif


Ramai orang tidak faham mengapa mereka selalu cemas, waswas, tertekan dan murung, cepat marah, mudah tersinggung serta hilang keyakinan diri. Mereka juga kerap berasa takut, malu dan menganggap diri tidak berguna.

Apabila waswas, seseorang itu akan melakukan perkara sama berulang kali, namun masih berasa tidak puas hati. Contohnya ialah mencuci tangan berulang kali sehingga kulit terasa pedih kerana membayangkan tangannya masih kotor, atau mengambil wuduk berkali-kali tetapi masih terasa air sembahyangnya tidak rata.



Perkara yang disenaraikan di atas adalah sebahagian daripada gejala gangguan obsesif kompulsif (obsessive-compulsive disorder - OCD) iaitu antara penyakit mental dan perlu rawatan segera. Bagaimanapun, walaupun anda ada gejala yang disebut di atas, tidak bermakna anda menghadapi masalah OCD.

Seseorang itu hanya boleh disahkan menghidap OCD melalui pemeriksaan pakar berdasarkan beberapa ciri iaitu jika menunjukkan sikap keterlaluan. OCD dibahagi kepada beberapa kategori iaitu aspek pemikiran, bayangan atau cara yang berulang-ulang.



Dapatkan produk kesihatan TERBAIK di Kedai SihatSelalu <-- Klik!


Punca dan Faktor

Punca OCD tidak diketahui, tetapi penyelidik percaya ia ada kaitan dengan ketidakseimbangan bahan kimia otak, iaitu neurotransmiter dan gejala OCD boleh dikurangkan jika pesakit mengambil ubat serotonin.

Antara faktor yang boleh meningkatkan risiko OCD termasuk genetik (keturunan) khususnya membabitkan pertalian darah yang kuat (seperti daripada bapa kepada anak). Bagaimanapun, mereka mungkin menghadapi kerumitan pemikiran berbeza, misalnya ayah mengalami obsesif terhadap kebersihan manakala anaknya mengalami obsesif objek.

OCD boleh menyebabkan penghidapnya rendah diri terhadap orang sekeliling. Lebih malang apabila ahli keluarga tidak faham dengan masalah dialami penghidap OCD dan ini boleh menimbulkan ketegangan.

Ini kerana mereka berasa cepat marah dan mudah tersinggung. Mereka juga mempunyai personaliti obsesif seperti terlalu mementingkan kebersihan, patuh peraturan, objek, cerewet, tidak boleh bertolak ansur dan tidak mahu mengalah.

Penghidap OCD tidak mampu mengawal diri daripada berfikiran melampau. Pemikiran ini bukan sengaja dibuat-buat dan walaupun sedar masalah dihadapi, pesakit tidak mampu mengawalnya. Menahan atau melawan pemikiran obsesif menyebabkan mereka lebih resah dan takut.

Kanak-kanak OCD

Penyelidik dari Universiti Florida mendapati kanak-kanak yang ada masalah OCD mempunyai kecenderungan 3 kali ganda menjadi mangsa buli berbanding kanak-kanak normal. Kelakuan berbeza serta kurang keyakinan diri menyebabkan mereka mudah dijadikan sasaran kes buli di kalangan kanak-kanak.

Hubungan kanak-kanak OCD dengan rakan sebaya biasanya tidak baik dan kanak-kanak akan membuli orang yang dilihat menunjukkan kelakuan berbeza.

Walaupun semua kanak-kanak boleh menjadi mangsa buli, risiko kanak-kanak OCD dibuli jauh lebih tinggi dan ini menyebabkan masalah dialami pesakit semakin serius.

Akibatnya kanak-kanak OCD mengalami masalah sosial, sunyi, tiada kawan dan anggap tiada orang menyayanginya. Mereka diasingkan kerana kawan tidak faham mengapa pesakit melakukan satu perkara berulang-ulang.

Gejala OCD

Antara gejala umum OCD ialah:

* Murung
* Letih
* Berasa rendah diri dan mudah tersinggung
* Berasa diri tidak berguna
* Cepat marah dan tertekan
* Selalu resah
* Was-was
* Tidak dapat memberi tumpuan kepada tugas
* Prestasi kerja menurun
* Hubungan sosial terganggu

Semua orang mempunyai risiko diserang OCD, tetapi ia lazimnya berlaku di kalangan remaja dan awal dewasa. Antara contoh kes OCD yang biasa ialah kebimbangan keterlaluan terhadap jangkitan akan menyebabkan penghidap membasuh tangan berulang kali.

Ada juga yang mencuci tangan sehingga berdarah. Jika ingin mandi, mereka mencuci bilik mandi, mandi dan mencuci bilik mandi sekali lagi sebelum bersiap untuk ke tempat kerja.

Malah ada pesakit menyentuh objek, menyebut nama atau perkataan berulang kali. Terlalu bimbang keselamatan anak, ada ibu bercakap atau berpesan kepada gambar anak.

Ada juga terlalu bimbang akan mencederakan orang lain dengan memeriksa kepala gas dan api dapur berulang kali bagi memastikan ia dalam keadaan selamat. Sama juga halnya apabila penghidap OCD memandu kereta. Mereka akan memandu dengan sangat perlahan setiap kali berasakan ada bonggol di jalan raya kerana bimbang akan mencederakan pejalan kaki.

Kebimbangan melampau ini menyebabkan penghidap OCD mengambil masa lama dan bertindak sangat perlahan untuk menyiapkan tugas. Malah ada juga yang tidak mampu menyelesaikan tugas diamanahkan.

Dalam kes begini, pesakit perlu mendapatkan rawatan segera. Pada masa sama, mereka sangat memerlukan sokongan keluarga. Keluarga harus bersabar dan cuba memahami keadaan pesakit. Buatlah perbandingan dan beri komen positif kepada pesakit supaya mereka lebih kuat untuk mengatasi masalah OCD.


Lagi info tentang GANGGUAN OBSESIF KOMPULSIF di sini.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu