Masalah Cakera Tulang Belakang


oleh Norlaila Hamima Jamaluddin

Boleh dikatakan semua orang pernah mengalami masalah sakit pinggang dan belakang. Walaupun dulu ia sering dikatakan sebagai tanda penuaan, kini ia boleh berlaku pada semua peringkat umur.

Sakit pinggang dan belakang boleh melumpuhkan aktiviti harian seseorang. Apatah lagi jika kesakitan itu keterlaluan dan 'menjalar' ke bahagian badan lain. Masalah ini juga memaksa sesetengah pesakit berehat sepenuhnya di katil selama beberapa bulan.



Sakit belakang menandakan ada yang tidak kena dengan saraf kita. Saraf sihat sepatutnya bergerak bebas di dalam badan bagi memastikan bekalan darah, pertukaran cecair badan dan khasiat makanan berlaku dengan sempurna.



Dapatkan produk kesihatan TERBAIK di Kedai SihatSelalu <-- Klik!


Ada banyak jenis sakit belakang, tetapi paling biasa ialah rasa ketidakselesaan. Penyebab dan darjah kesakitan berbeza antara individu. Ada yang mengalami kesakitan akut, berpanjangan atau tegang pada satu tempat, terutama jika anda berbaring atau duduk pada satu posisi terlalu lama.

Yang penting ialah mengenal pasti jenis kesakitan yang anda alami kerana ia boleh membantu dan menjadi panduan kepada doktor bagi mengenal pasti punca masalah anda. Ini kerana ada masalah sakit belakang turut menyebabkan kesakitan pada kaki dan ia sering disalah tafsir.

Saraf dan Cakera Tulang Belakang

Jika anda mengalami kesakitan teruk diikuti rasa kebas, lebih baik segera berjumpa doktor kerana ia mungkin menandakan ada yang tidak kena dengan saraf tunjang.

Pergerakan saraf yang sihat dalam tulang belakang tidak akan menyebabkan kita berasa sakit. Kita hanya berasa sakit apabila saraf ini terhalang, tertekan, terhimpit, mengalami keradangan atau bengkak.

Saraf boleh mengalami keradangan dan bengkak apabila ia tertekan, contohnya apabila cakera tulang belakang teralih. Cakera ini berbentuk bulat tetapi leper dan mengandungi cecair untuk menyerap hentakan. Perubahan yang berlaku pada cakera ini boleh menyebabkan kesakitan.

Masalah Cakera

Ada beberapa jenis masalah cakera tulang belakang iaitu :

* Cakera bengkak.
* Cakera teralih — ada beberapa jenis, sama ada ia terkeluar sedikit, separuh atau pecah.
* Cakera menjadi nipis (hasil pergerakan).
* Kemerosotan cakera pembentukan osteofit, iaitu satu unjuran tulang berbentuk duri. Ia terbentuk pada kawasan yang mengalami kemerosotan dan disebabkan proses penuaan.

Masalah cakera boleh berlaku pada mana-mana bahagian tulang belakang dari leher (dipanggil tulang servikal, C1 hingga C7); torasik (pada dada, T1 hingga T12) atau lumbar (di bawah pinggang, L1 hingga L5). Contohnya C1 bermakna tulang servikal pertama pada leher (di bawah kepala).

Namun bahagian yang kerap menyebabkan kesakitan ialah pada tulang servikal C5 hingga C7 dan lumbar iaitu L3, L4 dan L5 kerana ia paling banyak bergerak. Saraf tunjang terletak dalam turus tulang belakang dan pada setiap bahagian tulang akan keluar dua saraf di kiri dan kanan.

Apa-apa saja yang menekan, menghalang atau menyebabkan saraf terjejas akan menyebabkan kita berasa sakit. Setiap tulang belakang ini ada satu sendi besar dan dua sendi kecil. Sebarang masalah pada sendi ini juga boleh menyebabkan kesakitan.

Kesakitan dialami setiap orang berbeza. Tidak kurang juga tersilap diagnos, terutama jika pesakit mengadu sakit seluruh kaki. Sakit pada seluruh kaki (belakang) yang bermula dari bahagian atas menunjukkan ia ada kaitan dengan saraf siatika. Ia sebenarnya sakit belakang yang menjalar ke seluruh kaki kerana saraf siatika tertekan atau terhimpit. Kesakitan ini lebih terasa apabila seseorang itu bersin atau batuk.

Masalah cakera boleh berlaku pada mana-mana bahagian. Ia boleh disebabkan faktor penuaan, genetik, kecacatan sejak lahir (kongenital) atau kerosakan mekanikal seperti stenosis, iaitu penyempitan anbormal pada laluan saraf mengakibatkan saraf tertekan atau terhimpit.

Rawatan

Bukan semua orang memerlukan rawatan. Individu yang berasakan kesakitan itu masih boleh ditanggung dan tidak menjejaskan aktiviti harian tidak memerlukan rawatan, walaupun ujian menunjukkan mereka mengalami masalah cakera.

Rawatan hanya diberi apabila kesakitan dialami menjejaskan fungsi seseorang. Ada beberapa jenis rawatan, tetapi biasanya masalah sakit belakang dimulakan dengan rawatan konservatif iaitu rehat dan fisioterapi.

Kaedah lain yang digunakan ialah prosedur laminektomi, iaitu sama ada pembuangan lamina atau cecair dalam cakera. Dalam proses pembuangan lamina, doktor memotong lapisan tisu nipis pada tulang belakang bagi mengurangkan kesakitan.

Jika masalah berpunca daripada sendi yang tidak stabil, doktor menjalankan prosedur mematikan sendi dengan mencantumkan dua tulang. Bagaimanapun, ini adalah kaedah lama dan jarang digunakan lagi.

Cara terbaru ialah pembedahan penggantian sendi. Bagaimanapun, keputusan diperoleh berbeza. Biasanya hasil pembedahan pada sendi tulang servikal lebih baik daripada tulang lumbar. Jika anda mahu memilih kaedah ini, bincang dulu dengan doktor.

Kaedah terbaru untuk mengatasi masalah sakit belakang ialah suntikan epidural atau epiduralisis. Ia berkesan untuk mengurangkan keradangan saraf, tidak memerlukan pembedahan dan mempunyai risiko komplikasi rendah.

Lebih 70% kes sakit belakang dapat dikurangkan melalui kaedah suntikan epidural. Bagaimanapun, jangan salah anggap kerana ia tidak sama dengan epidural untuk wanita bersalin. Kesan ubat bertahan enam bulan dan paling penting ialah ia boleh meningkatkan keupayaan seseorang untuk bergerak dengan lebih baik.

Kaedah ini mudah, lebih murah dan cepat. Pesakit tidak perlu masuk ke hospital dan boleh balik selepas menerima suntikan. Selepas diperiksa, doktor memberi suntikan pada bahagian saraf yang bengkak atau mengalami keradangan menggunakan kateter khas.

Siapa Yang Sesuai Mendapatkan Suntikan Ini?.

+ Individu yang masih mengalami kesakitan walaupun melakukan pelbagai kaedah konservatif (tidak termasuk pembedahan).

+ Individu yang mengalami masalah stenosis tulang belakang (saluran saraf pada tulang belakang menjadi sempit).

+ Individu yang ada masalah cakera teralih atau cakera pecah.

+ Individu yang alami radienlopathy — individu yang turut mengalami sakit kaki.

+ Ada masalah fibrosis epidural iaitu kehadiran parut pada tulang belakang selepas pembedahan. Parut ini melekat pada saraf dan menyebabkan kesakitan. Suntikan epidural boleh melekangkan balik saraf yang melekat itu.

+ Individu yang alami sindrom kegagalan pembedahan belakang, iaitu masih mengalami kesakitan walaupun sudah menjalani pembedahan.

Bagaimanapun, kaedah ini tidak sesuai bagi pesakit yang mengambil ubat pencair darah seperti pesakit jantung. Pun begitu, pesakit yang mengambil ubat pencair darah boleh mencuba kaedah ini dengan menghentikan pengambilan ubat itu untuk beberapa ketika. Bincang dengan doktor bagi mengelak masalah kesihatan.

Kaedah Rawatan Lain

Kaedah seterusnya ialah ablasi radiofrekuensi iaitu untuk membuat saraf yang menyebabkan kesakitan menjadi kebas bagi mengurangkan sensitivitinya atau mematikan terus saraf berkenaan.

Cara terakhir ialah pembedahan. Semua pesakit disaran mencuba kaedah lain terlebih dulu sebelum bersetuju menjalani pembedahan kerana bukan semua masalah sakit belakang dapat diselesaikan dengan pembedahan. Dapatkan pandangan kedua jika anda disyorkan menjalani pembedahan kerana kini ada banyak kaedah baru yang lebih mudah dan berkesan.

Hanya jika kesakitan pada kaki melebihi sakit pada pinggang hingga sukar atau tidak boleh berjalan seperti sakit siatika (akibat saraf siatika), pembedahan adalah kaedah terbaik.

Untuk kesan lebih baik, semua jenis rawatan, termasuk suntikan epidural, perlu dilengkapkan dengan senaman atau latihan fisioterapi. Buat senaman untuk menguatkan otot dan sendi tulang belakang. Antara senaman terbaik ialah berenang kerana ia bukan saja menguatkan otot, tetapi turut membantu menstabilkan tulang belakang.

Selain itu, individu yang ada masalah sakit belakang dan sudah menjalani rawatan dinasihatkan supaya mengekalkan berat badan seimbang. Kegemukan membuat masalah sakit belakang menjadi lebih teruk.


Lagi info tentang CAKERA TULANG BELAKANG di sini.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu