Rawatan Pemutihan Gigi Serlah Keterampilan

Gigi lebih putih selepas rawatan pemutihan.

oleh Siti Nur Almizan Aripin

Memiliki rupa paras menawan dengan senyuman manis yang sentiasa melekat di bibir membuatkan sesiapa yang memandang mudah terpikat. Apatah lagi saat menguntai senyuman, terserlah deretan gigi yang tersusun rapi bersinar putih bersih.

Bagaimanapun, tidak semua orang bernasib baik dan memiliki deretan gigi cantik tanpa masalah kekuningan atau kesan karat pada celahan gigi.


Faktor Gigi Kuning

Masalah gigi kuning disebabkan banyak faktor antaranya pemakanan, genetik dan rutin penjagaan. Biasanya orang berkulit gelap seperti India mempunyai gigi yang secara genetiknya lebih putih manakala gigi orang Cina akan bertukar kekuningan disebabkan selalu memakan masakan panas seperti sup.

Bersandarkan kepada teknologi rawatan pergigian yang sentiasa berubah, mereka yang dulunya malu hendak melemparkan senyuman kerana masalah gigi kuning kini mampu menjelmakan hasrat memiliki gigi putih bersih melalui teknik pemutihan gigi.



Dapatkan produk kesihatan TERBAIK di Kedai SihatSelalu <-- Klik!


Ada 3 kaedah terkini untuk rawatan pemutihan gigi iaitu pancaran cahaya dengan sapuan gel pemutih, ceper serta pen pemadam. Semuanya membabitkan penggunaan hidrogen peroksida.

Pemutihan gigi perlu dibezakan dengan rawatan pembersihan gigi secara berkala yang mana ketika proses pembersihan, doktor gigi akan membersihkan kotoran (stain superficial) pada lapisan luar gigi menjadikan gigi lebih bersih.

Hakikatnya, selepas rawatan pembersihan gigi dibuat, warna gigi hampir sama cuma lebih bersih selepas kotoran dikeluarkan.

Berbeza dengan rawatan pemutihan menggunakan pemutih dengan kandungan hidrogen peroksida dalam dos mencukupi, warna keseluruhan permukaan gigi akan bertukar cerah dan putih.

Tahap penjagaan gigi masyarakat Malaysia semakin baik menyebabkan masalah oral dihadapi mereka semakin berkurangan. Kini, lebih ramai yang berminat untuk mendapatkan warna gigi yang lebih putih dan bersih.

Lebih Yakin

Bukan hanya wanita yang mementingkan penampilan senyuman kerana bilangan lelaki yang mendapatkan khidmat pemutihan gigi di klinik pergigian juga meningkat setiap tahun. Rawatan pemutihan juga disyorkan kepada mereka yang ingin kelihatan lebih berketerampilan dan yakin apabila berdepan dengan khalayak.

Rawatan pemutihan gigi boleh disamakan seperti rawatan kosmetik mudah tetapi kesannya mampu merubah rupa paras seseorang sebagaimana yang boleh dilihat di dalam rancangan 'make over' di televisyen. Senyuman secara langsung mampu merubah tanggapan pertama orang terhadap diri kita.

Bagi anda yang bakal bergelar raja sehari, ingin menghadiri temu duga kerja atau sekadar merubah identiti diri, mungkin ini adalah masa paling tepat untuk merubah penampilan dan tampil yakin dengan deretan gigi putih bersih melalui kaedah rawatan pemutihan gigi.

Teknik 1 - Pancaran Cahaya Dengan Sapuan Gel Pemutih

Teknik ini membabitkan penggunaan sejalur getah berbusa mengandungi hidrogen peroksida dan dimasukkan ke dalam ceper (mouth guard) sebelum dipancarkan dengan mesin pancaran cahaya.

Ada 3 jenis cahaya digunakan iaitu cahaya lembayung ungu (UV), laser dan cahaya paling selamat adalah cahaya biasa.

Sebelum memilih untuk menjalani rawatan pemutihan gigi menggunakan cahaya, pelanggan perlu membuat kaji selidik terhadap kesan penggunaan cahaya dan peratusan hidrogen peroksida di dalam gel pemutih.

Penggunaan laser dan UV sangat berkesan tapi jika gusi tidak dilindungi dengan baik, pancaran berkenaan boleh melukakan dan menyebabkan gusi merah atau mengalami keradangan.

Cahaya biasa yang dihasilkan menggunakan teknologi NASA adalah kaedah paling terkini. Ia diakui selamat untuk dipancarkan kepada enamel gigi, kulit, gusi dan tisu lembut.

Sesi rawatan berlangsung selama setengah jam atau satu jam bergantung pada tahap kekuningan gigi dan kesan putih akan kekal sehingga tiga tahun.

Pelanggan dinasihatkan supaya tidak merokok dan mengambil makanan yang berwarna serta berminyak atau mengambil minuman seperti kopi, teh dalam tempoh 24 jam bagi memastikan keberkesanannya.

* Anggaran kos rawatan : RM1,200 hingga RM2,800

* Keberkesanan : Terbaik

Teknik 2 - Ceper

Pemakaian ceper lebih mudah kerana ia boleh dilakukan walau di rumah. Bagaimanapun, pengguna perlu berdisiplin kerana ceper yang mengandungi gel pemutih perlu dipakai sekurang-kurangnya 2 kali sehari selama kira-kira sejam atau setengah jam.

Pemakaian perlu diteruskan antara 5 hingga 10 hari secara berterusan. Namun, keberkesanan rawatan bergantung kepada peratusan hidrogen peroksida di dalam gel pemutih.

* Anggaran kos rawatan : RM450 hingga RM900

* Keberkesanan : Bagus

Teknik 3 - Pen Pemadam

Teknik pemutihan menggunakan pen pemadam antara kaedah terkini bagi mendapatkan gigi putih bersih. Sapuan perlu dilakukan dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan malam.

Selepas pen pemutih disapu pada gigi, anda tidak digalakkan mengambil sebarang makanan berwarna selama setengah jam bagi mengelakkan ia melekat pada gigi.

Setimpal dengan teknik dan kos dikeluarkan, penggunaan pen pemadam tidak mampu memberikan kesan terbaik.

* Anggaran kos rawatan : RM100 hingga RM200

* Keberkesanan : Sederhana bagus

FAKTA

+ Gigi yang kuning boleh diputihkan.

+ Ada 3 cara utama untuk memutihkan gigi iaitu teknik gel dan cahaya, teknik gel dan ceper gigi serta teknik gel sapuan.

+ Kesemua teknik adalah berkesan tetapi keputusannya berbeza bergantung kepada kekuatan gel pemutih dan kemajuan teknologinya.

+ Remaja, ibu mengandung dan pengidap penyakit rongga mulut seperti ulser, gusi bengkak atau kanser mulut tidak digalakkan menjalani rawatan pemutihan gigi.


Lagi info tentang PEMUTIHAN GIGI di sini.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu