Rawatan Tidak Membatalkan Puasa

oleh Norlaila Hamima Jamaluddin

Antara isu biasa yang timbul setiap kali Ramadhan ialah keengganan sesetengah pesakit mendapatkan rawatan kerana bimbang ia boleh membatalkan puasa.

Ada juga yang bertindak sebaliknya dengan menjadikan penerimaan rawatan sebagai alasan untuk tidak berpuasa. Malah, ada pesakit berasakan mereka perlu membatalkan puasa apabila menerima rawatan. Bahkan di kalangan doktor, masih ada yang tidak pasti sama ada rawatan yang mahu diberi kepada pesakit boleh membatalkan puasa atau sebaliknya.

Sebenarnya Islam memberi kelonggaran untuk berbuka jika dengan berpuasa boleh mendatangkan mudarat atau memburukkan kesihatan pesakit. Tidak kira apa penyakit dihidapi, namun jika ia terkawal, individu berkenaan diwajibkan berpuasa.

Namun kumpulan ini, contohnya pesakit buah pinggang (yang perlu jalani dialisis), kencing manis dan asma yang teruk, diharuskan atau diwajibkan berbuka jika tahap kesihatan mereka merosot secara mendadak sehingga mengalami komplikasi teruk akibat tidak makan.

Kumpulan pesakit yang dikecualikan berpuasa ialah :

* Leukemia
* Kanser usus
* Kanser paru-paru
* Aids yang serius
* Meningitis (jangkitan selaput otak)
* Pneumonia (jangkitan paru-paru)
* Jangkitan salur kencing
* Septisemia (pemusnahan tisu akibat kesan toksik bakteria dalam darah)
* Pesakit yang alami kerosakan buah pinggang (perlu dialisis)
* Asma yang teruk

Pun begitu, masih banyak isu menjadi persoalan pesakit, sama ada rawatan bakal diharuskan ketika berpuasa atau boleh membatalkan ibadat mereka. Antara persoalan ini ialah :

# Suntikan vitamin dan glukos
# Penggunaan ubat penyedut atau semburan bagi melegakan gejala asma
# Penggunaan oksigen
# Rawatan gigi
# Pemeriksaan dan rawatan mata serta telinga
# Pengambilan darah
# Pembedahan kecil

Isu bimbang mendapat rawatan ketika berpuasa tidak hanya berlaku di Malaysia, tetapi membabitkan semua umat Islam di seluruh dunia.

Kaedah Rawatan

Persidangan Akademi Fiqah Islam Antarabangsa yang berlangsung di Maghribi dan Putrajaya beberapa tahun lalu merumuskan, ada kaedah rawatan yang tidak membatalkan puasa.

Kaedah berkenaan ialah:

* Menitiskan ubat ke dalam mata, hidung, telinga dan membasuh telinga (selagi ia tidak ditelan)

* Meletakkan ubat di bawah lidah untuk rawatan sakit dada atau angin atau lain-lain penyakit dengan syarat ia tidak ditelan

* Memasukkan sesuatu alat ke dalam rahim untuk tujuan rawatan dan pemeriksaan seperti alat mencegah kehamilan, supositori (penyediaan ubat dalam bentuk pepejal untuk dimasukkan dalam ruang tubuh), douching (semburan air untuk mencuci mana-mana bahagian tubuh) dan skop

* Memasukkan sesuatu alat ke dalam salur kencing dan pundi kencing seperti ureteroskop dan radio-legap (bahan mengandungi iodin sebagai saluran untuk memberi warna kontras dan legap apabila menjalani radiografi yang menggunakan sinar-X) untuk tujuan pemeriksaan dan rawatan

* Memasukkan sesuatu alat ke dalam usus untuk tujuan pemeriksaan, rawatan dan ubatan seperti supositori, radio-legap dan cecair bagi membersihkan usus

* Rawatan gigi seperti mencabut, menampal dan pembersihan gigi dengan tidak menelan apa-apa

* Berkumur-kumur atau menyembur ubat semburan ke dalam mulut tanpa menelan apa-apa

* Pemberian suntikan ubatan ke dalam salur darah (intravena) atau melalui kulit, sama ada di bawah kulit (subkutaneus) dan dalam otot (intra-maskular). Ini termasuk suntikan insulin bagi pesakit kencing manis

* Pengambilan oksigen. Ini kerana udara yang kita sedut juga adalah oksigen

* Pemberian bius (seluruh badan)

* Semua jenis ubat yang meresap ke dalam badan melalui kulit seperti krim sapu

* Memasukkan tiub dan radio-legap bagi tujuan angiogram (pemeriksaan pembuluh darah melalui sinar-X. Ia untuk melihat masalah salur darah tersumbat, biasanya bagi pesakit jantung. Untuk tujuan ini satu pewarna yang legap kepada sinar-X disuntik ke dalam salur darah untuk melihat imej salur darah)

* Memasukkan skop melalui badan bagi tujuan pembedahan dan rawatan seperti laparoskopi

* Biopsi hati dan lain-lain organ tanpa memasukkan cecair ke dalamnya

* Ujian endoskopi bagi tujuan diagnosis seperti gastroskop (memasukkan alat skop ke dalam ruang perut) dengan syarat tidak memasukkan sebarang cecair ke dalam perut melalui alat itu

* Memasukkan peralatan atau pemberian suntikan ke saraf tunjang untuk tujuan pemeriksaan atau rawatan

* Menggunakan pam pelega (mengandungi semburan ubat) bagi pesakit asma, sama ada pam inhaler atau nebulizer. Penggunaan pam ini tidak membatalkan puasa kerana yang disedut itu adalah gas dan untuk tujuan rawatan

Bagaimanapun, bagi pesakit yang tidak sedarkan diri ketika berpuasa (akibat kesan bius seluruh badan) ada dua keadaan. Berdasarkan Mazhab Shafie dan Hambali, jika seseorang itu pengsan dari terbit fajar hingga terbenam matahari, dia dikira tidak berpuasa. Namun puasa seseorang itu masih sah jika dia hanya tidak sedarkan diri separuh hari.

Masalah gusi berdarah, hidung berdarah atau selesema pula dikategorikan sebagai masalah yang tidak dapat dielakkan dan ia dimaafkan. Puasa seseorang itu masih sah tetapi perlu memastikan darah diludah atau menghembus hingus. Berhati-hati jangan sampai tertelan kerana ia boleh membatalkan puasa.

Pun begitu, suntikan vitamin dan glukos membatalkan puasa kerana memasukkan makanan ke dalam badan. Vitamin adalah makanan tambahan, manakala glukos pula ialah gula ringkas yang boleh mengembalikan tenaga.

Bagi yang memerlukan rawatan sepanjang Ramadhan ini, usah menangguhkannya kerana dikhuatiri penyakit bertambah teruk.

Berpuasalah selagi terdaya kerana secara kajian sudah membuktikan ibadat ini boleh memperbaiki tahap kesihatan, terutama di kalangan pesakit kencing manis.


Lagi info tentang PUASA di sini.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu