Saraf Bahu Terkoyak


oleh Shanika Abdullatib

Bayangkan jaringan saraf yang terdapat di antara leher dan bahu terkoyak, putus atau rosak akibat kemalangan atau bersukan. Ia sememangnya mengerikan.

Turut dikenali sebagai erb palsy, pleksus brakial (brachial plexus) merupakan satu jaringan saraf yang terdapat di kawasan leher hingga ke bahu, yang berfungsi sebagai transmiter terhadap pergerakan dan rasa. Ia adalah satu kawasan yang sangat rapuh.





Dapatkan produk kesihatan TERBAIK di Kedai SihatSelalu <-- Klik!


Malah rapuhnya kawasan yang bermula di C5, C6, C7, C8 dan P1 saraf tulang belakang ini menyebabkan kelumpuhan kekal kepada mereka yang terlibat dalam kemalangan. Kelumpuhan itu boleh berlaku akibat aktiviti regangan, tertekan serta saraf rosak atau terputus.

Risiko Pleksus Brakial

Ketidakupayaan untuk menggunakan sebahagian tangan adalah perkara paling lazim berlaku berpunca daripada kerosakan saraf.

Ada yang tidak boleh menggerakkan langsung bahagian yang bermula dari bahu hingga ke jari. Jika bernasib baik, bahagian lengan boleh digerakkan tetapi cukup minimum.


Di samping itu, jisim otot juga akan berkurangan dan akhirnya, otot di bahagian lengan semakin mengecil dan lembik kerana tiada sebarang aktiviti di situ.

Pleksus brakial tidak terkecuali menyebabkan kedudukan bahu pesakit jatuh sehingga 20% daripada kedudukan asal dan ini sukar dibaiki walaupun pembedahan membetulkan tulang bahu dilakukan.

Rawatan Awal

Antara rawatan peringkat awal ialah neurolisis iaitu satu prosedur mencuci dan membuang tisu yang luka serta darah beku di dalam saraf.

Proses ini penting bagi mengetahui keadaan saraf yang terluka. Daripada pembedahan ini juga, pakar perubatan akan mengetahui sekiranya masih terdapat aliran saraf.


EMG atau elektromiografi merupakan satu teknik bagi menilai dan merekodkan isyarat aktif di dalam otot dan saraf. Teknik ini akan mengesan potensi elektrikal yang dihasilkan sel otot ketika aktif dan tidur.

Sambung Saraf

Prosedur lain yang digunakan ialah kaedah mencangkuk antara 2 saraf. Ia dilakukan apabila jarak antara 2 saraf yang terputus amat besar dan mustahil untuk disambung semula.

Saraf sambungan ini diambil di tempat lain seperti di kaki. Potensi kejayaan bagi prosedur ini agak tinggi namun ia bergantung kepada berapa banyak saraf yang terlibat.


Semua prosedur rawatan pleksus brakial harus dilakukan dalam masa 3 hingga 4 bulan pertama dari tarikh kemalangan. Ini kerana jika saraf yang rosak tidak dirawat dan dipulihkan dengan segera, kemungkinan besar kerosakan saraf terbabit akan menjadi lebih teruk dan mengurangkan peluang untuk sembuh.

Kalau melibatkan pesakit yang lebih muda seperti kanak-kanak atau bayi, peluang mereka untuk sembuh adalah lebih besar. Antara faktornya ialah saraf mereka masih muda dan tahap keanjalan saraf itu masih tinggi, jadi ia mudah untuk bercantum semula.

Menyentuh jenis rawatan lain, disebabkan kes pleksus brakial bersifat kekal, maka tidak banyak rawatan lain boleh diberikan walaupun selepas menjalani pembedahan.


Kadar Rendah

Kadar kejayaan untuk pesakit pleksus brakial untuk kembali menggunakan anggota tangan secara normal adalah terlalu rendah.

Justeru, fisioterapi fizikal dan terapi pekerjaan boleh dilakukan sebagai rawatan tambahan bagi menguatkan kembali otot.


Lagi info tentang BAHU di sini.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu