Risiko Radang Hati (Hepatitis)


oleh Hafizah Iszahanid

Hepatitis adalah isu yang sentiasa relevan dalam dunia perubatan, apatah lagi ia membabitkan salah satu organ penting badan iaitu hati. Ia merujuk penyakit radang pada hati yang berpunca daripada jangkitan virus selain penyakit auto imun serta turut dikaitkan dengan pengambilan alkohol yang berlebihan.




Jenis Hepatitis

Ada banyak jenis hepatitis. Jenis A dan E berpunca daripada pengambilan makanan atau minuman yang dicemari. Hepatitis B, C dan D pula berpunca daripada jangkitan cecair tubuh (sama ada melalui pemindahan darah atau prosedur perubatan invasif yang menggunakan peralatan yang dicemari).

Di seluruh dunia, dianggarkan 250 juta orang dijangkiti hepatitis C. Kira-kira 400 juta orang adalah pembawa hepatitis B. Malah Hepatitis B adalah 50 hingga 100 kali lebih berjangkit berbanding HIV.



Dapatkan produk kesihatan TERBAIK di Kedai SihatSelalu <-- Klik!


Boleh Menyebabkan Kanser

Radang pada hati dikategorikan mengikut sel radang pada tisu organ. Hepatitis mungkin masalah yang terhad kepada pesakit itu saja atau mungkin juga ia mencatat perkembangan dan menyebabkan kerosakan hati atau kanser hati.

Hepatitis juga boleh berlaku dengan atau tanpa simptom. Jika berlaku simpton ia mungkin muncul dalam bentuk seperti seperti jaundis (kuning) atau hilang selera makan.

Hepatitis yang akut berlaku 6 bulan tetapi hepatitis kronik lebih lama daripada tempoh itu. Selain disebabkan virus, hepatitis juga mungkin terjadi kerana toksin (misalnya daripada arak) atau penyakit auto imun.


Hepatitis A & E

Hepatitis A dan E secara asasnya disebabkan makanan atau air yang tercemar. Ia tidak menyebabkan penyakit yang kronik dan berpanjangan. Walaupun hati radang dan bengkak, namun pada kebanyakan orang ia boleh sembuh dengan sendirinya dan anda dilindungi imuniti daripada hepatitis A.

Hepatitis A boleh ditangani dengan vaksin yang diperkenalkan sejak awal 1990-an. Biasanya, anda perlu mendapatkan vaksin hepatitis A jika mengembara ke negara dunia ketiga atau kawasan yang tidak memiliki sistem perparitan dan pencernaan yang baik.

Hepatitis B

Endemik di mana-mana negara di seluruh dunia. Berpunca daripada jangkitan virus, ia menyerang hati dan boleh menyebabkan kerosakan akut juga kronik. Selain boleh berjangkit melalui pemindahan darah dan daripada ibu kepada anak ia juga boleh berjangkit melalui hubungan seksual.

Sebelum 1985, banyak kes hepatitis B direkodkan kerana tiada saringan terhadap produk darah. Bagaimanapun sekarang jangkitan berpunca daripada produk darah mulai menurun. Namun, jangkitan yang berpunca daripada hubungan seksual semakin meningkat.

Semakin awal seseorang itu dijangkiti hepatitis B, semakin tinggi dia berisiko terhadap hepatitis B kronik.


Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelaskan dianggarkan 600,000 orang meninggal dunia setiap tahun disebabkan hepatitis B kronik dan akut. Sementara 25% orang dewasa yang dijangkiti hepatitis B kronik sudah menghidap hepatitis B sejak zaman kanak-kanak. Golongan ini berisiko untuk meninggal dunia kerana kanser hati atau sirosis (parut pada hati) yang berpunca daripada jangkitan yang kronik. Seperti mana hepatitis A, hepatitis B juga sebenarnya boleh ditangani dengan vaksin.


Hepatitis C

Hepatitis C secara umumnya merebak melalui darah yang tercemar selain boleh merebak menerusi hubungan seksual. Kebanyakan mereka yang dijangkiti hepatitis C tidak menunjukkan sebarang simptom untuk tempoh beberapa tahun. Ia hanya boleh dikesan melalui ujian darah.

Hepatitis C tidak boleh sembuh dengan sendirinya dan jangkitan itu boleh kekal dalam tubuh pesakit seumur hidupnya. Ia juga mungkin boleh membawa kepada masalah kesihatan yang lain seperti sirosis dan kanser hati. Dalam kes yang serius, hepatitis C hanya boleh ditangani dengan pemindahan hati. Tidak seperti hepatitis A dan B, tiada vaksin untuk hepatitis C.


Info : Simptom Hepatitis

# Jaundis
# Air kencing berwarna gelap
# Keletihan melampau
# Loya
# Muntah
# Sakit perut


Info : Fungsi hati

* Fungsi utama hati ialah sebagai penapis darah, bertindak membersihkan dan membuang toksin daripada bahan-bahan yang masuk ke dalam badan anda
* Pembentukan darah (semasa dalam kandungan)
* Penukaran makanan kepada otot-otot, tenaga dan protein
* Pengeluaran hormon
* Pembekuan darah
* Pembentukan dan pembuangan kolesterol dan lemak


Lagi info tentang HEPATITIS di sini.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu