Tinitus - Telinga Berdesing


oleh Bintu Rasyada A. Rahman

Sudah beberapa malam Nora tidak boleh tidur. Kepada suami, wanita berusia 40 tahun itu mengadu telinganya kerap berdesing sejak akhir-akhir ini. Ia berlaku tidak menentu dan biasanya bunyi berdesing lebih kuat jika dia berada di tempat sunyi terutama sebelum tidur.



Desingan sangat bising dan bingit seperti bunyi 'eeee' yang panjang serta frekuensi tinggi. Kadangkala ia seperti bunyi mesin gergaji yang sedang memotong batu-bata dan ada juga bunyi seperti cengkerik dan unggas yang tidak jemu memecah kesunyian malam.

Keadaan itu mengganggu aktiviti hariannya dan paling merungsingkan, desingan tersebut menyebabkan dia sukar melelapkan mata.

Pelbagai andaian bermain dalam fikiran Nora. Dia risau andai mengalami penyakit serius dalam telinga seperti gegendang pecah, bernanah dan sebagainya. Lebih merunsingkan wanita itu mula terfikir, adakah bunyi itu datangnya dari otak yang terletak bersebelah dengan telinga?



Dapatkan produk kesihatan TERBAIK di Kedai SihatSelalu <-- Klik!


Mengapa Telinga Berdesing?

Keadaan telinga yang sentiasa berdesing dipanggil tinitus.

Walau bagaimanapun, ia bukanlah sejenis penyakit tetapi merupakan simptom yang berlaku disebabkan beberapa perkara termasuklah jangkitan telinga, objek luar atau lilin dalam telinga, alah pada bahagian hidung yang menghalang aliran cecair dan menyebabkan penghasilan lilin dengan banyak.

Tinitus juga berlaku disebabkan pendengaran terjejas sejajar dengan peningkatan usia.

Secara dasarnya, setiap individu normal mempunyai pendengaran luar dan dalam (desingan) semula jadi sejak dilahirkan.


Pendengaran luar individu normal berada pada tahap yang baik menyebabkan ia mengawal bunyi desingan semula jadi dari dalam. Kerana itu kita tidak sedar bahawa setiap orang sebenarnya mengalami keadaan telinga berdesing.

Tinitus terbahagi kepada dua iaitu subjektif di mana individu yang mengalami tinitus mendengar bunyi tetapi orang lain tidak manakala tinitus objektif berlaku apabila individu mendengar bunyi dan orang lain (biasanya doktor) turut mendengar bunyi tersebut.

Tinitus boleh berlaku di sebelah telinga atau mungkin kedua-dua belah sekali. Sesetengah individu mengalami tinitus berpanjangan, manakala setengah lagi sekali-sekala. Ia boleh berlaku tidak kira peringkat umur bermula seawal 20-an, namun kebanyakannya mengalami ketika usia melebihi 50 tahun. Dikatakan seorang daripada 5 individu berusia 55 tahun ke atas mengalami tinitus.

Tinitus juga boleh berlaku disebabkan pengambilan ubat seperti aspirin dan paras aktiviti hormon serotonin yang rendah.


Tinitus Subjektif

Kebanyakan pesakit akan mengesyaki mereka mengalami kanser otak, kerosakan pada bahagian koklea, gegendang telinga dan sebagainya.

Jika disebabkan masalah seperti tahi telinga, telinga bernanah dan sebagainya, tinitus akan hilang dengan cara tahi dan nanah dibuang serta diubati dengan antibiotik. Jika individu mengalami masalah pada koklea pula, mereka tidak akan mendengar langsung sebarang bunyi sama ada daripada luar atau dalam.

Pendengaran luar kebanyakan individu akan berkurang sejajar dengan peningkatan umur mereka. Namun tidak semua individu mengalami masalah tersebut.

Tahap masalah bergantung kepada individu itu sendiri. Jika individu tersebut lebih sensitif dengan desingan yang berlaku, maka dia akan rasa keadaan tersebut sangat serius.


Keadaan tinitus tidak boleh dirawat atau diubati tetapi individu boleh mengawalnya dengan cara menerima keadaan tersebut dengan hati yang tenang. Dalam hal ini, penghidap mungkin perlu mendapatkan bimbingan psikologi bagi membantu mereka mengawal keadaan agar tidak runsing dan risau.

Penggunaan topeng tinitus dan alat bantuan pendengaran juga mampu menangani keadaan itu namun tidak boleh mengatasi masalah sepenuhnya.

Alat bantuan pendengaran bertindak seperti mikrofon yang menguatkan bunyi luar bagi mengawal bunyi desingan dalam. Namun, ramai pesakit mengadu ia tidak berkesan kerana kadang kala terdapat masalah seperti pemakaian tidak betul menyebabkan bunyi terlalu rendah atau tinggi.


Tinitus Objektif

Apabila doktor yang merawat dapat mengesan bunyi dari dalam telinga pesakit, ini dipanggil tinitus objektif.

Ia berlaku disebabkan gerakan otot pada telinga, atau bunyi berdetik sekitar kawasan telinga tengah (dalam). Sesetengah individu mengalami bunyi yang berdetik seperti nadi (dipanggil pulsative tinnitus).

Keadaan ini adalah biasa dan ia berlaku disebabkan perubahan aliran darah atau peningkatan arus pergolakan darah berdekatan telinga (seperti dari artereosklerosis). Namun ia juga boleh bertukar menjadi tinitus subjektif disebabkan terlalu risau dengan aliran darah tersebut.

Jika pesakit itu mengalami masalah tinitus objektif, beliau akan merujuk perkara tersebut kepada pakar saraf bagi mendapatkan penjelasan selanjutnya.

Amat jarang penghidap tinitus objektif berkait rapat dengan masalah kesihatan serius lain. Namun terdapat kes kecil seperti carotid artery aneurysm dan carotid artery dissection.


Gaya Hidup Sihat

Dalam mengelak masalah tinitus berlaku seiring dengan peningkatan usia, disarankan agar setiap individu menjalani gaya hidup sihat.

Penyakit seperti diabetis dan darah tinggi boleh mengganggu deria pendengaran sekali gus mendedahkan penghidapnya kepada masalah tinitus.


Lagi info tentang TINITUS di sini.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu