Jantung Terhenti Kerana Kerosakan Elektrikal


oleh Suzan Ahmad

Kita sering mendengar kematian mengejut apabila individu rebah selepas mengadu sakit dada. Masalah ini digelar keadaan jantung terhenti iaitu apabila jantung berhenti berfungsi secara tiba-tiba.

Puncanya - kerosakan sistem elektrikal organ penting berkenaan. Perlu diingat, jantung terhenti bukanlah serangan jantung. Namun, angka kematiannya menggerunkan iaitu 3 juta kes setahun di seluruh dunia. Malangnya, daripada jumlah itu hanya 1% mangsa yang berjaya diselamatkan.



Ramai menyangkakan barah adalah pembunuh utama, sebaliknya jika digabungkan jumlah penyakit kronik seperti barah payudara, barah serviks, strok dan HIV/AIDS jumlah itu masih tidak dapat menandingi kes kematian akibat jantung terhenti.



Dapatkan produk kesihatan TERBAIK di Kedai SihatSelalu <-- Klik!


Pembunuh Nombor 1

Penyakit berkaitan masalah kardiovaskular adalah pembunuh nombor satu dan jumlah ini semakin meningkat di Malaysia terutama dalam kalangan lelaki berusia kurang dari 40 tahun.

Ini kerana, walaupun masyarakat hidup lebih lama, malangnya kualiti hidup terjejas akibat penyakit seperti kencing manis, serangan jantung, strok dan pelbagai lagi. Semuanya akibat gaya hidup yang tidak sihat termasuk diet dan amalan merokok.

Organ Elektrikal

Memandangkan jantung adalah organ elektrikal, bermakna ia boleh rosak sama ada ia berdegup terlalu laju atau terlalu perlahan. Pada masa cukup singkat, beberapa saat atau minit saja kematian secara mengejut boleh berlaku.

Di Amerika Syarikat misalnya, 70% kematian akibat jantung terhenti disebabkan lewat mendapat rawatan. Lebih malang lagi, individu yang pernah mengalami serangan jantung mempunyai risiko 4 hingga 6 kali ganda mengalami jantung terhenti.

Beza Dengan Serangan Jantung

Namun ada bezanya antara jantung terhenti dengan serangan jantung. Ringkasnya, secara perbandingan, andai jantung adalah sebuah rumah, jantung terhenti berlaku apabila berlakunya masalah bekalan elektrik manakala serangan jantung disebabkan masalah paip.


Punca

Punca paling biasa jantung terhenti adalah arrhythmia dikenali ventricular fibrillation (VF). Ia berlaku apabila isyarat elektrikal yang mengawal pengepaman jantung tiba-tiba menjadi laju dan tidak sekata. Akibatnya, bahagian bawah jantung, iaitu ventrikal mula bergetar dan tidak berdegup. Ini menyebabkannya tidak lagi mampu mengepam darah dari jantung ke seluruh tubuh.

Jika darah gagal mengalir ke otak, ia akan kehilangan oksigen dan individu malang itu akan pengsan serta-merta. Tanpa bantuan kecemasan seperti kejutan elektrik yang disalirkan terus ke jantung (menggunakan mesin defibrillator) untuk mengembalikan rentak biasa jantung, pesakit akan mati dalam beberapa saat atau minit saja!

Lebih membimbangkan, masalah jantung terhenti tidak boleh dijangka dan boleh menimpa individu sihat, aktif dan tanpa rekod masalah jantung. Bagaimanapun, keadaan ini tidak berlaku secara rambang dan majoriti mangsa mempunyai sejarah komplikasi kesihatan atau jantung dan mungkin tidak menyedarinya.


Rawatan

Antara rawatan terkini adalah Implantable Cardioverter Defibrillators (ICD). Alat ini berfungsi memastikan kadar degupan jantung sentiasa aktif apabila pesakit mengalami serangan jantung secara tiba-tiba. ICD ditanam dalam dada dan memantau jantung dengan mengesan sebarang rentak luar biasa.

Sebarang arrhythmia merbahaya dikesan, ICD menghantar nadi kejutan elektrik tenaga rendah bagi mengembalikan rentak normal jantung dan menghalang jantung mati. Diperbuat daripada titanium seberat 68 gram, alat yang perlu dicas 6 bulan sekali ini menelan kos sekitar RM32,000 hingga RM80,000 dan mudah diuruskan. ICD mampu bertahan sehingga 6 tahun bergantung kepada individu.

Sejak diperkenalkan pada 1996 di IJN, kaedah ini memberi manfaat kepada 70 hingga 80 pesakit di Malaysia setiap tahun.

Info Tambahan

Jantung Terhenti

# Disebabkan masalah elektrikal
# Jantung henti berdegup serta merta dan tanpa amaran
# Boleh sebabkan maut jika tidak dialirkan dengan kejutan elektrik secara segera

Serangan Jantung

# Masalah pembuluh
# Salur darah tersumbat menghalang aliran darah ke jantung
# Kekurangan darah boleh merosakkan otot jantung dan tisu.



Lagi info tentang JANTUNG di sini.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu