Masalah Rawan Pada Lutut


oleh Hafizah Iszahanid

Rawam adalah tisu kuat yang fleksibel sifatnya dan ada di seluruh tubuh. Bagaimanapun masalah rawan di lutut kerap diperkatakan kerana kerosakannya bukan setakat menjejaskan pergerakan individu, malah kehidupan seharian. Lebih malang lagi, bagi kes serius, lutut itu perlu diganti.



Secara umumnya ada 2 jenis rawan pada lutut :

* rawan meniskus - penyerap kejutan antara bahagian atas tulang paha (femur) dan tulang besar di bawah kaki (tibia)

* rawan artikular - berwarna putih bersinar yang menutupi hujung kebanyakan tulang. Ia memastikan tulang bergeseran tanpa rasa sakit. Tebalnya hanya beberapa milimeter saja. Rawan artikular berfungsi untuk meminimumkan tekanan apabila individu bergerak. Pada masa sama, ia turut berfungsi sebagai penyerap kejutan.



Dapatkan produk kesihatan TERBAIK di Kedai SihatSelalu <-- Klik!


Tidak Pulih Dengan Cepat

Tidak seperti bahagian lain badan, rawan sebaliknya tidak memiliki bekalan darah (avaskular). Justeru jika berlaku kerosakan rawan, ia tidak boleh pulih dengan cepat seperti mana kulit atau otot yang rosak. Selain sifat yang avaskular, rawan artikular juga tiada bekalan saraf (aneural).

Justeru, pada permulaan kecederaan pada rawan, anda tidak akan berasa sakit. Namun, apabila kecederaan itu semakin teruk atau rawan mula berlubang, ia akan menjejaskan pergerakan sendi. Namun, sendi juga akan mengalami masalah keradangan dan sakit.

Jika kecederaan itu besar, tulang di bawah rawan akan hilang perlindungan dan menyebabkan geseran. Tanpa rawatan, keadaan inilah pada akhirnya akan menjejaskan sendi.


Simptom

Antara simptom kerosakan rawan ialah :

# sakit pada sendi

# sendi bengkak

# lutut terkunci (lock knee) - sendi lutut tidak boleh diluruskan

# lutut juga mungkin berbunyi ketika bergerak terutama jika rawan di belakang kepala lutut yang rosak.\

Punca

Antara yang utama adalah osteoarthritis dan selalunya membabitkan golongan berusia. Sementara golongan muda biasanya mengalami kecederaan rawan kerana pembabitan dalam sukan.

Masalah kecederaan rawan boleh juga berlaku di kalangan kanak-kanak disebabkan jangkitan kuman pada sendi misalnya septic arthritis. Selain kanak-kanak, septic arthritis juga boleh dialami kalangan pesakit tibi, HIV dan diabetes. Selain itu ia berlaku juga di kalangan pesakit kanser, pesakit gout dan rheumatoid arthritis.

Kecederaan pada rawan selalunya akan menyebabkan rasa sakit pada bahagian lutut yang terjejas. Biasanya lutut bengkak atau terkunci (lock knee). Namun bukan semua kesakitan pada lutut itu disebabkan masalah rawan.


Tahap Kerosakan

Kerosakan rawan ditandakan pada tahap 1 hingga 4.

* Tahap 1 : Rawan menjadi lembut

* Tahap 2 : Permukaan rawan mula kasar

* Tahap 3 : Berlaku keretakan pada rawan hingga ke tulang

* Tahap 4 : Rawan mula menghakis daripada permukaan sendi

Pada permulaan masalah kecederaan rawan, individu itu tidak begitu merasakan kesakitan. Sebaliknya, apabila rawan semakin rosak, kesakitan mula terasa.

Selalunya, imbasan akan dilakukan bagi menilai keadaan rawan dan tulang di sekeliling lutut. Jika kerosakan itu kecil, laporan imbasan biasanya masih normal. Justeru, imbasan MRI akan digunakan bagi melihat kerosakan pada rawan dan kecederaan lain jika ada pada lutut.

Rawatan

Rawatan tanpa pembedahan umumnya membantu melegakan simptom kerosakan rawan. Ini seperti :

# Fisioterapi - latihan yang menguatkan otot berkaitan atau menyokong sendi boleh membantu mengurangkan tekanan kepada sendi dan mengurangkan rasa sakit

# Ubat-ubatan - seperti ubat steroid anti-radang seperti aspirin atau ibuprofen boleh membantu mengurangkan bengkak dan sakit

# Penggunaan alat-alatan bantuan seperti leg brace

# Perubahan gaya hidup - mengurangkan aktiviti yang membabitkan sendi yang terjejas.


Rawatan dengan pembedahan

Ada beberapa prosedur pembedahan yang boleh anda pilih bagi menangani masalah kecederaan rawan bergantung pada keterukan masalah anda. Antara yang popular adalah microfracture - teknik yang mengalakkan penumbuhan rawan baru. Ia adalah teknik paling umum yang menggunakan prosedur arthroskopik. Kawasan rawan yang terjejas ditebuk membolehkannya berdarah. Walaupun teknik ini mampu menghasilkan rawan baru tetapi ia tidak boleh bertahan lama dan tidak memiliki ketahanan dan kekuatan seperti mana rawan asal.

Satu lagi teknik yang hangat diperkatakan adalah penggunaan sel stem bagi menjana pertumbuhan rawan baru yang menyamai rawan asal. Bagaimanapun, kajian dan penyelidikan mengenainya masih baru justeru penggunaan sel stem dalam memulihkan rawan masih terlalu jauh untuk diperkatakan.


Lagi info tentang MASALAH RAWAN di sini.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu