Terapi Penggantian Lutut Tidak Kira Usia


oleh Hafizah Iszahanid

Usia anda masih muda namun kemalangan jalan raya menyebabkan lutut tidak lagi berfungsi dengan baik. Anda menahan kesakitan, tidak boleh bekerja dan jauh sekali bersukan. Dalam situasi itu, doktor pula menolak pembedahan terapi penggantian lutut atas alasan usia anda masih muda.

Umumnya apabila menyebut terapi penggantian lutut, apa yang terbayang adalah pesakitnya warga tua berusia 60 tahun ke atas. Ini kerana, secara teorinya, selepas 10 hingga 15 tahun, satu lagi pembedahan diperlukan bagi menggantikan lutut baru. Fungsi implan yang ditanam mempunyai jangka hayat yang pendek dan menyebabkan lutut anda tidak boleh berfungsi sepenuhnya.



Bagaimanapun, teknologi implan terkini menyaksikan ia boleh bertahan hingga 20 tahun. Malah, bagi sesetengah pesakit yang tidak menggunakan lutut seaktif ahli sukan profesional, ketahanan implan yang ditanam mungkin lebih dari itu. Justeru, jika usia anda 25 tahun, perlukah anda menunggu selama 35 tahun untuk kembali aktif dan sihat?



Dapatkan produk kesihatan TERBAIK di Kedai SihatSelalu <-- Klik!


Tidak Kira Usia

Terapi penggantian lutut sebenarnya untuk semua pesakit yang amat memerlukan prosedur itu tidak kiralah berapa usia anda.

Apatah lagi, jika anda mengalami kesakitan yang tidak tertanggung dan menjejaskan kualiti hidup seperti sukar bergerak, berjalan, menaiki tangga atau duduk dan turun daripada kerusi; atau rawatan sebelum ini tidak berkesan dan berlakunya kerosakan lutut, maka terapi penggantian lutut mungkin jawapan terbaik untuk anda.

Di peringkat antarabangsa, terapi penggantian lutut sudah dikenali sejak 1970-an lagi. Sejak itu ia mengalami revolusi yang menyaksikan implan yang ditanam bertahan lama lebih lama dalam lutut. Di Malaysia bagaimanapun, ia tidak begitu dikenali. Malah takrifan terapi penggantian lutut lebih khusus kepada pesakit berusia, menyebabkan pesakit muda yang benar-benar memerlukannya sedikit terabai.


Osteoarthritis

Terapi penggantian lutut memang lebih popular di kalangan pesakit tua kerana masalah osteoarthritis yang menyerang mereka yang berusia. Sekitar 70% mereka yang menjalani pembedahan ini adalah pesakit tua yang berhadapan dengan masalah osteoarthritis. Namun, dengan teknologi implan terkini, jika ada pesakit muda yang memerlukannya, doktor sepatutnya mencadangkan prosedur itu sebagai pilihan rawatan.

Implan yang ada di pasaran kini boleh bertahan sehingga 15 ke 20 tahun. Namun, apa yang penting berbincang dengan doktor yang merawat, jelaskan kedudukan anda sebagai pesakit dan dengar pula pendapat doktor. Jika kesakitan yang ditanggung menyebabkan anda diberhentikan kerja, tidak boleh bersukan atau bermain-main dengan anak, adakah berbaloi untuk menunggu hingga usia mencecah 60 tahun untuk melakukan pembedahan terapi gantian lutut?

Malah, data dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika yang membandingkan antara 1990-1994 dan 2002-2006, lebih ramai pesakit melakukan terapi gantian lutut termasuk pesakit muda.


Pembedahan Minimal Invasif

Teknologi perubatan hari ini juga semakin hebat. Misalnya, jika pembedahan gantian lutut sebelum ini membabitkan prosedur yang meninggalkan parut berukuran 8 ke 12 inci dan pesakit terpaksa duduk di wad sehingga 5 hari, tetapi dengan teknik pembedahan minimal invasif (MIS), bukaan pembedahan adalah kecil, iaitu antara 4 ke 6 inci saja. MIS juga memastikan doktor tidak 'mengganggu' otot dan tisu tendon yang tidak berkaitan. Teknik ini meninggalkan parut yang lebih kecil, tempoh tinggal di wad yang singkat, anda juga pulih dalam tempoh yang cepat dan kurang sakit.

Walaupun pembedahan ini masih dikategorikan sebagai pembedahan major tetapi bagusnya, MIS memastikan pembedahan tidak banyak berdarah dan pesakit pulih dengan cepat. Apatah lagi dengan bantuan teknik navigasi berkomputer, ia memudahkan doktor mendapat ukuran yang tepat untuk menyeimbangkan ukuran tulang yang perlu dipotong.

INFO : Implan Lutut

* Sendi lutut diperbuat daripada 3 tulang iaitu tulang paha (femur) yang berada di atas tulang tibia. Tulang ketiga dikenali patella yang bersambung dengan otot dan membolehkan anda menegakkan lutut. Apabila membengkok atau menegangkan lutut pula, bebola di hujung femur bergerak antara permukaan rata di tibia. Kepala lutut pula mengurangkan rasa tekanan dan kejang pada otot.

* Dalam pembedahan gantian lutut, sebahagian tulang diganti dengan implan yang diperbuat sama ada daripada besi atau plastik. Permukaan tulang atas diganti dengan implan yang dibina sama atau hampir menyamai tulang asal. Permukaan tulang bawah diganti dengan sejenis plastik (polyethylene) yang berfungsi seperti rawan. Bahagian bawah kepala lutut juga mungkin diganti dengan diska bulat yang diperbuat daripada jenis plastik yang sama.

* Pembedahan ini membantu menghilangkan kesakitan dan mengembalikan fungsi lutut. Tulang yang rosak dibuang begitu juga dengan rawan, tulang tibia (shinbone) dan kepala lutut. Kesemua ini biasanya rosak dan menyebabkan anda memerlukan pembedahan terapi gantian lutut. Pelbagai jenis implan ada di pasaran membolehkan anda dan doktor berbincang bagi memilih sendi gantian yang sesuai mengikut usia, berat, tahap kesihatan dan aktiviti anda.



Lagi info tentang LUTUT di sini.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu