Urat Keting Putus


oleh Hafizah Iszahanid

Kaki bukan hanya pelengkap tubuh tetapi turut menjadi asas pergerakan baik berlari, berjalan mahu pun ketika duduk. Malangnya, kita lebih menitikberatkan aspek fizikal kaki yang sekali gus menenggelamkan peri pentingnya peranan kekuatan dalaman kaki iaitu tulang dan uratnya.

Jika sakit pun atau berasa lenguh, kita sering beranggapan memadailah masalah itu diatasi dengan sekadar menyapu minyak panas dan berurut. Adakah tepat persepsi sedemikian? Bagaimana jika masalah itu jauh lebih serius seperti urat keting itu putus?



Putus urat keting (achilles tendon) dianggap biasa dalam kalangan atlit. Bagaimanapun, urat atau tendon yang menjadi penghubung tulang tumit dan otot keting ini juga boleh terputus akibat faktor penuaan, komplikasi diabetes serta masalah arthritis.


Tendon Paling Kuat

Hakikatnya, urat keting adalah tendon yang paling kuat dan tebal dalam sistem tubuh manusia. Ia berukuran 15 sentimeter panjang dan bermula dekat dengan bahagian tengah keting hingga ke bawah tumit.

Tetapi, ia juga antara tendon paling kerap terkoyak atau putus berikutan fungsi utamanya menyelaraskan pergerakan sama ada berjalan atau berlari. Anda juga memerlukan bantuan urat keting apabila terpaksa menjengketkan kaki.

Justeru, jika berlaku gerakan mengejut misalnya melompat tiba-tiba, urat keting boleh terputus atau terkoyak. Urat keting yang terkoyak separuh masih berupaya menghubungkan otot keting tetapi jika terkoyak sepenuhnya, ia tidak lagi berfungsi menghubungkan antara otot keting dan tulang buku lali.



Dapatkan produk kesihatan TERBAIK di Kedai SihatSelalu <-- Klik!


Boleh Menimpa Sesiapa Sahaja

Meskipun ia lebih banyak dialami atlit, tetapi masalah putus urat keting juga boleh menimpa sesiapa saja.

Masalah radang urat keting yang berpanjangan juga boleh menyebabkannya putus. Masalah sedemikian kerap dialami mereka yang berusia.

Urat keting juga boleh menjadi lemah dan menipis kerana faktor usia. Keadaan ini menyebabkan ia cenderung untuk mudah cedera atau putus.

Simptom Urat Keting Putus

Namun, putusnya urat keting tidak bermakna anda tidak boleh berjalan. Mereka yang putus urat keting masih boleh berjalan, justeru kebanyakan orang yang mengalaminya tidak terlalu prihatin untuk mendapatkan rawatan. Melainkan jika seseorang itu terbabit dalam sukan secara profesional.

Urat keting yang putus akan menghasilkan bunyi meletup (seperti 'pop') dan menyebabkan bengkak, kejang diikuti dengan lebam dan lemah. Tekanan dirasakan atau dilihat dengan jelas di kawasan tendon kira-kira dua inci di atas tulang tumit. Apabila urat keting sudah lama putus, ia akan menyebabkan kesan lekuk pada keting.


Rawatan

Apakah rawatan bagi mengatasi masalah ini? Pembedahan adalah rawatan paling popular bagi menangani masalah putus urat keting. Bergantung pada tisu yang terkoyak atau putus, pembedahan ini mungkin akan memerlukan urat keting dijahit kembali ke tapak asalnya.

Jenis pembedahan bergantung kepada saiz jurang urat yang putus. Jika minimum, hujung tendon itu boleh ditemukan semula. Secara umumnya, proses penyembuhan tisu akan berlaku selepas rawatan. Namun, proses itu tidak akan terjadi dalam tempoh yang singkat jika kawasan yang cedera tidak mendapat bekalan darah yang cukup.

Kaedah terbaru dalam rawatan putus urat keting adalah suntikan plasma daripada pesakit sendiri. Teknik dikenali sebagai Autologous Plasma Injection (ACP) untuk masalah radang kronik pada tendon seperti urat keting selain masalah radang pada urat di siku (tennis elbow).


Seperti diketahui, darah kita mengandung 'growth factor' atau bahan yang menjana pertumbuhan sel lain bagi membantu pertumbuhan, keseimbangan dan ketahanan tulang, otot, tendon dan ligamen. Apabila bahan itu disuntik ke dalam tendon yang bermasalah, ia membantu tisu untuk cepat pulih.

Justeru, prosedur pembedahan yang dibantu dengan ACP selepas itu dapat menolong pesakit sembuh cepat.

ACP diformulasi daripada darah pesakit sendiri. Darah sebanyak 10 mililiter diambil, disteril dan diasingkan antara sel putih, sel merah dan plasma. Hanya sel darah dikenali sebagai platelet yang mengandungi 'growth factor' paling penting diambil.

Ia kemudian disuntik kepada kawasan yang cedera. Dari segi prinsipnya, ia berupaya meningkatkan penghasilan sel stem yang membantu proses penyembuhan tisu.



Lagi info tentang URAT KETING di sini.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu