Sawan Babi (Epilepsi) Jejas Otak


oleh Hafizah Iszahanid

KITA kerap mendengar penyakit gila babi atau sawan babi yang lebih berkait rapat dengan kekejangan atau 'tarik' yang berulangan dengan penghidapnya menggigil sehingga memerlukan bantuan segera.

Namun, secara amnya tidak ramai yang mengetahui apa sebenarnya punca penyakit ini yang turut dikenali epilepsi dari segi istilah perubatan. Hakikatnya, penyakit ini berlaku hasil tindak balas masalah isyarat elektrik yang salah dalam otak. Atau ringkasnya, aktiviti elektrik otak yang normal diganggu oleh lebihan aliran elektrik dalam otak yang menyebabkan berlakunya masalah komunikasi sementara antara sel saraf.

Masalah Neurologi

Penyakit ini menjejaskan kehidupan lebih 180,000 orang dalam setahun dan di seluruh dunia, sekurang-kurangnya sejuta orang akan mengalami epilepsi seumur hidupnya.

Lebih membimbangkan, 2 juta kes baru dicatatkan setiap tahun yang membuktikan epilepsi adalah masalah universal dan antara masalah neurologi yang serius.

Bagaimanapun, bukan semua orang yang mengalami tarik atau kekejangan ini berhadapan dengan epilepsi. Ini kerana, ada kalanya, serangan sawan itu berlaku apabila pesakit berhadapan dengan masalah kekurangan air yang keterlaluan atau suhu badannya terlalu tinggi.


Punca Epilepsi

Namun, jika seseorang itu mengalami kekejangan dengan kerap tanpa sebab, ini mungkin gejala dia mengalami epilepsi. Malah epilepsi juga boleh disebabkan kecederaan otak, jangkitan otak seperti meningitis atau penyakit yang mengganggu pembentukan otak janin ketika dalam kandungan ibu.

Epilepsi ini juga boleh disebabkan kekurangan oksigen pada otak bayi kepada dilahirkan.

Epilepsi boleh menjejaskan bahagian otak yang berlainan dan ia terjadi dalam pelbagai cara bergantung kepada sel otak yang terbabit.

Sesetengah kes kekejangan ini menjejaskan keseluruhan badan pesakit dan menyebabkan penyebaran aliran elektrikal ke seluruh otak dan keadaan dikenali sebagai 'tonic-clonic'.


Kekejangan

Ada juga masalah yang lebih tertumpu iaitu aliran elektrikal hanya menjejaskan bahagian kecil otak yang dikenali sebagai 'kekejangan sebelah' yang menyebabkan pesakit sedikit keliru atau gangguan pergerakan motor atau kedua-duanya sekali, tetapi tanpa disedari individu berkenaan. Namun, ada juga kes yang mana pesakit mengalaminya dalam keadaan sedar.

Segelintir pesakit pula mengalami kekejangan jenis sebelah sebelum merebak ke seluruh otak menjadi kekejangan jenis 'tonic-clonic'. Kekejangan ini pula boleh berlaku beberapa kali sehari atau sekali beberapa bulan.

Apa yang pesakit alami sama ada hilang sedar, perubahan dalam penglihatan atau rasa tidak selesa pada perut sebenarnya bergantung pada jenis epilepsi. Sesetengah pesakit mengalami keadaan seperti bermimpi, yang lain mungkin mengalami perasaan gembira dan sedih yang bercampur aduk. Sementara ada yang mengulang-ulang pergerakan seperti mengenyit mata.


Rawatan

Bagaimanapun, bukan semua kes epilepsi memerlukan pembedahan. Doktor akan memberi rawatan lain seperti ubat-ubatan terlebih dulu. Namun, jika pembedahan diperlukan, alat khas bagi membantu mengesahkan aktiviti elektrik dalam otak manusia.

Otak mengandungi satu trilion sel berbeza dengan separuh daripada sel ini memiliki fungsi sel elektrik yang berlainan. Kuasa elektrik ini sangat kecil dan negatif, justeru alat khas digunakan bagi mengukur cas negatif berkenaan. Epilepsi datang daripada sel yang sakit dan umumnya ia terjadi pada bahagian otak tepi dan otak depan.


Magnetoencephalography (MEG)

Bagi pesakit epilepsi, kaedah magnetoencephalography atau MEG adalah teknik membantu mengesahkan antara sel yang sihat dan sel yang terjejas. MEG sebenarnya bukanlah keajaiban baru dunia perubatan. Ia sudah dikenali sejak 1968 tetapi di Malaysia dan Asia Tenggara, MEG cuma ada di HUSM.

MEG adalah teknik 'non-invasive' (tidak membabitkan pembedahan) bagi mengkaji epilepsi dan fungsi otak. Dalam kes epilepsi, MEG digunakan bagi mengenalpasti sumber 'epileptiform' dalam aktiviti otak yang berkemungkinan besar adalah sumber kepada berlakunya 'tarik'.

MEG memiliki keupayaan menentukan pemetaan otak bagi memastikan pembedahan dibuat dengan teliti tanpa kemudaratan. Malah dalam kes lain, ia mampu mengesan 80% kes berkaitan otak lebih awal dan tepat sebelum rawatan dibuat.


Kaedah ini juga menjadi cara baru merekod dan menganalisa fungsi otak dengan mengukur magnetik yang dihasilkan aktiviti elektrik dalam otak. Rakaman ini memberikan ukuran fungsi berterusan yang berlaku pada neuron dan boleh menunjukkan lokasi neuron yang tidak berfungsi.

Secara ringkas MEG adalah teknik yang membantu mengenal pasti sumber aktiviti elektrik dalam otak manusia menggunakan ukuran magnetik non-invasive dan tidak menyakitkan, tanpa jarum, selamat dan tidak membabitkan sebarang unsur radiasi dan pembedahan. Malah, ia boleh dilakukan kepada kanak-kanak.

Teknik ini juga mampu mendiagnosis masalah angin ahmar, trauma pada otak, masalah sakit jiwa dan kemurungan serta membantu dalam bidang kognitif yang membabitkan terapi rehabiliti dan rawatan psikologi.



Lagi info tentang SAWAN di sini.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu