Juvenile Idiopathic Arthritis Pada Kanak-kanak


oleh Suzan Ahmad

Tiada apa yang lebih mengejutkan ibu bapa apabila diberitahu anak kecilnya menghidap arthritis, penyakit yang lazim dialami warga tua. Dikenali sebagai Juvenile Idiopathic Arthritis (JIA), ia adalah jenis penyakit arthritis yang menyerang kanak-kanak dan dikategorikan sebagai kronik (penyakit sepanjang hayat) kerana ia menjejaskan sendi di seluruh tubuh.

Ini berlaku apabila sistem imun yang sepatutnya menyerang anasir asing pada tubuh menjadi celaru dan sebaliknya menyerang sel tisu yang melindungi bahagian dalaman sendi. Ini mengakibatkan pesakit mengalami bengkak, sakit dan kekejangan berlarutan.

Punca sebenar JIA masih tidak diketahui. Bagaimanapun, pengkaji turut menyelidik beberapa faktor yang berkemungkinan terbabit secara sendiri mahupun berganding dalam mencetus kesan keradangan yang dilihat pada JIA. Faktor ini termasuk genetik, jangkitan dan faktor persekitaran yang mempengaruhi sistem imun. JIA, bagaimanapun, bukan penyakit keturunan seperti cystic fibrosis.


Bawah 16 Tahun

Ia dikenali sebagai juvana kerana kanak-kanak dikesan menghidap penyakit ini sebelum mencecah usia 16 tahun manakala idiopathic bermaksud punca penyakit yang masih tidak diketahui.

JIA boleh dihidapi seawal usia bayi beberapa bulan sehingga 16 tahun. Secara umumnya, dari segi nisbahnya, satu daripada 1,000 kanak-kanak di Malaysia menderita penyakit ini.

Biasanya, kanak-kanak yang mengalami JIA menghadapi masalah memahami, menguruskan penyakit serta bertanggungjawab terhadapnya.

Dalam kebanyakan kes, kanak-kanak atau pelajar yang mengalami JIA berhadapan masalah pergaulan dan komunikasi di sekolah kerana terpaksa mengelak dari menyertai aktiviti fizikal yang keras dan memudaratkan keadaan mereka. Malah susuk tubuh mereka yang kebanyakan lebih kecil dari usia akibat gangguan tumbesar menjadi bahan senda gurau rakan sebaya.


Yayasan Arthritis Malaysia

Untuk itu Yayasan Arthritis Malaysia, menerusi Kelab Remaja mengambil inisiatif menganjurkan pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak ini termasuk untuk 'Independent Camp' yang mana pesakit muda ini dibawa menyertai program tanpa ditemani keluarga bagi memperkasa diri dengan maklumat dan pengetahuan mendalam mengenai penyakit, ubat-ubatan, mengapa perlunya ubat-ubatan dan juga peluang pekerjaan.

Mereka perlu tahu dengan memahami halangan jenis pekerjaan yang kurang sesuai akibat kekangan fizikal, anak-anak ini akan lebih fokus kepada jenis kerjaya yang lebih sesuai kerana hakikatnya menghidap JIA bukanlah penamat untuk mereka menikmati kehidupan yang berkualiti dan berjaya.


Gejala dan Rawatan JIA

Gejala-gejala bergantung kepada jenis JIA termasuk :

* Kejang pada bahagian sendi waktu pagi
* Sakit, bengkak dan lembut dalam sendi
* Tempang
* Demam
* Ruam
* Hilang berat badan
* Letih atau cepat marah
* Merah mata, sakit mata, dan pandangan kabur

Rawatan JIA :

* Ubat anti-radang tanpa steroid (NSAIDs)
* Corticosteroids (steroids)
* Ubat anti-rheumatik pengubah suai-penyakit (DMARDs)
* Agen pengubah-suai biologikal
* Senaman dan terapi fizikal dan cara kerja



Lagi info tentang ARTHRITIS di sini.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu