Bell's Palsy Lumpuh Saraf/Otot Muka


oleh Bintu Rasyada A. Rahman

Bell’s palsy adalah satu penyakit kelumpuhan muka idiopatik (tidak diketahui punca) akibat disfungsi saraf tengkorak VII (saraf muka) yang mengakibatkan ketidakupayaan mengawal otot muka pada bahagian yang terjejas.

Terdapat beberapa keadaan yang boleh menyebabkan kelumpuhan muka contohnya ketumbuhan otak, strok dan penyakit Lyme. Namun jika tiada sebab dan berlaku kelumpuhan, maka ia dipanggil Bell’s palsy.

Nama Bell’s palsy diberi sempena pakar anatomi Scotland Charles Bell yang pertama kali menggambarkan keadaan tersebut sebagai penyakit mononeuropati akut (penyakit yang melibatkan satu saraf).


Muka Lumpuh

Pesakit yang mengalami strok biasanya mengakibatkan bukan sahaja kelumpuhan pada wajah malah tangan dan beberapa anggota badan yang lain turut terjejas. Berbeza dengan Bell’s palsy yang mana pesakitnya hanya mengalami lumpuh muka yang bukan berpunca daripada tekanan darah tinggi, diabetes atau sebagainya.

Biasanya, ia berlaku secara tiba-tiba secara separa namun dalam kes tertentu ia boleh melibatkan kelumpuhan kedua-dua belah muka.

Punca

Punca yang dikenalpasti mungkin disebabkan radang akibat jangkitan viral seperti herpes yang menyebabkan saraf muka menjadi bengkak. Saraf tersebut bergerak melalui tengkorak dalam saluran tulang kecil di bawah telinga.

Disebabkan ia membengkak dan mampat dalam saluran tulang yang sempit, dipercayai keadaan ini boleh menyebabkan kerosakan atau perencatan pada saraf tersebut. Namun itu hanya sebahagian daripada punca yang dikenalpasti kerana punca sebenar tidak diketahui.


Selain itu, beberapa punca mungkin mempunyai kaitan dengan serangan Bell’s palsy seperti trauma, faktor sekeliling, emosi dan metabolik tidak stabil.

Simptom dan Petanda

Bell’s palsy dikenalpasti melalui bentuk muka seakan jatuh sebelah. Kegagalan saraf VII berfungsi menyebabkan mata pesakit tidak boleh dikerdip dan tutup, senyuman dan pergerakan bibir terganggu, lidah mengeras, kening juga seperti berkerut dan terangkat, air liur meleleh dan hidung seakan terjatuh pada bahagian yang terjejas.

Sesetengah pesakit boleh merasai kelainan pada wajahnya beberapa hari sebelum diserang Bell’s palsy seperti rasa kebas, sakit bahagian telinga dan rasa kelainan pada lidah.


Biasanya, Bell’s palsy menyerang secara random di kalangan mereka yang berusia, wanita selepas bersalin atau ketika kedatangan haid, remaja dan mereka yang mengalami stres. Malah, ada juga kes yang berlaku di kalangan kanak-kanak namun peratusannya sangat rendah.

Serangan boleh dikelaskan kepada gred tertentu daripada sederhana hingga teruk dan segelintir mengalami kelumpuhan kedua-dua belah bahagian.

Rawatan

Hampir 50% pesakit boleh pulih dalam masa 2 hingga 3 minggu malah ada yang menunjukkan pemulihan dalam tempoh 10 hari tanpa sebarang rawatan khusus.

Sementara itu, 35 hingga 40% mengambil masa lebih kurang setahun untuk pulih dan hanya 5% yang tidak pulih sepenuhnya di mana wajah mereka kekal menunjukkan mengalami Bell’s palsy.

Doktor biasanya akan memberi pesakit ubat makan steroid (kortikosteroid) dengan dos yang tinggi pada peringkat awal serangan selama 2 minggu. Ia akan berkurangan sehinggalah pesakit menunjukkan peningkatan.


Sesetengah pesakit mungkin tidak memerlukan rawatan khusus bergantung kepada tahap yang dilaluinya.

Pesakit yang menunjukkan kelumpuhan menyeluruh, terutama melalui petunjuk mata dan mulut tidak boleh ditutup pada bahagian terjejas, dirawat dengan pembedahan khas.

Pesakit dinasihatkan mendapatkan rawatan awal dalam masa 48 jam selepas serangan berlaku bagi memudahkan proses pemulihan.

Bagi masalah yang dikenalpasti berpunca daripada radang, doktor akan memberi antiviral berserta steroid. Namun dalam kebanyakan kes yang berlaku, steroid dilihat lebih berkesan berbanding antiviral.

Pesakit disarankan melindungi mata mereka daripada terdedah dengan memakai pelindung dan menitis ubat cecair bagi mengelak mata menjadi kering akibat kesukaran mengerdip mata.

Rawatan fisioterapi kadangkala diberi kepada pesakit bagi membantu menguatkan otot terjejas dan sebagai stimulasi kepada saraf yang terlibat. Jenis-jenis fisioterapi yang biasa diberi adalah urutan muka, senaman otot muka dan stimulasi elektrik. Namun berdasarkan daripada kajian, fisioterapi tidak membantu sepenuhnya.


Pembedahan

Bagi masalah Bell’s palsy yang berlanjutan, pembedahan memperbetulkan saraf muka mungkin membantu. Pelbagai teknik pembedahan dikenalpasti membantu masalah ini. Antaranya pembedahan memperbetulkan tulang yang terjejas dan pembedahan mengembalikan senyuman (smile surgery).

Rawatan Alternatif

Sebenarnya belum ada satu kajian khusus yang dijalankan bagi membuktikan sama ada rawatan alternatif seperti akupuntur berkesan dalam merawat masalah Bell’s palsy.

Namun tiada halangan seandainya pesakit ingin mencuba kerana mungkin ia satu rangsangan yang baik untuk saraf, namun keberkesanannya belum terbukti secara saintifik.



Lagi info tentang BELL'S PALSY di sini.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu