Masalah Kawalan Kencing Kerana Otot Pelvis


oleh Bintu Rasyada A. Rahman

Kawasan yang boleh dianggap sebagai 'mahkota wanita' sebenarnya mudah terdedah kepada masalah yang bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal namun turut menggugat keharmonian rumah tangga.

Contohnya, otot lantai pelvis menjadi lemah disebabkan beberapa perkara iaitu pertambahan usia, kelahiran bayi dan juga obesiti. Sesetengah prosedur yang dilakukan ketika proses kelahiran seperti forsep turut menyumbang kepada masalah di bahagian itu dalam tempoh yang panjang.

Otot dasar pelvis yang lemah menjadi punca kepada kurang kenikmatan seksual dan juga kekenduran organ-organ pelvis seperti pundi kencing dan rahim.

Apabila ini berlaku, wanita akan mengalami masalah kawalan air kencing sehingga menyebabkan mereka terkucil ketika batuk, ketawa atau sebarang aktiviti menggunakan tenaga secara tidak sengaja.


Masalah itu boleh dikurangkan dengan mengurangkan pengambilan minuman berkafein, menghentikan tabiat merokok dan juga mengawal obesiti. Wanita juga perlu mengurangkan aktiviti yang melibatkan kekuatan fizikal kerana ia turut menyumbang kepada kelonggaran otot-otot pada lantai pelvis.

Tahap Masalah Kawalan Kencing

Gred 1 - Terkucil disebabkan tekanan secara tiba-tiba di kawasan abdomen, namun tidak berlaku ketika malam.

Gred 2 - Berlaku ketika pesakit berjalan, bangun dari posisi duduk, duduk pada katil atau berlaku dengan kerap ketika malam

Gred 3 - Berlaku walaupun tiada kaitan dengan aktiviti fizikal atau posisi.


Rawatan

Terdapat beberapa cara rawatan bagi merawat masalah otot lantai pelvis lemah. Antaranya melalui pembedahan, namun ia dikhuatiri tidak mampu menjadi penyelesaian jangka panjang selain berlaku risiko komplikasi.

Rawatan melalui pengambilan ubat juga boleh dilakukan namun ia tidak begitu berkesan seperti pembedahan. Ia juga mempunyai risiko komplikasi dan hanya berkesan ketika ubat diambil.

Sebagai alternatif, wanita boleh memilih melakukan senaman otot lantai pelvis atau lebih dikenali sebagai senaman Kegel.

Senaman Kegel

Senaman Kegel yang diperkenalkan oleh Dr. Arnold Kegel pada tahun 1940-an, telah terbukti mampu menguatkan dan mengentalkan otot lantai pelvis yang lemah akibat gejala penuaan, melahirkan anak dan prosedur-prosedur pembedahan seperti histerektomi.


Kajian yang dilakukan menunjukkan wanita mengandung yang melakukan senaman otot lantai pelvis kurang mengalami masalah kawalan kencing. Wanita yang mengamalkan senaman otot lantai pelvis selama 4 tahun juga dilaporkan kurang mengalami masalah kawalan kencing berbanding mereka yang tidak.

Senaman otot lantai pelvis boleh dilakukan dengan cara berbaring sambil menekan otot lantai pelvis sekuat mampu selama beberapa saat (maksimum 10 saat). Ulang gerakan yang sama selepas berehat sekitar 10 saat.

Senaman itu elok dilakukan 3 kali sehari dengan anggaran 10 hingga 15 kemutan setiap kali. Ia juga elok dilakukan pada 3 posisi yang berlainan.


Lagi info tentang SENAMAN KEGEL di sini.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu