PCOS Punca Wanita Mandul


oleh Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah

Sindrom Ovari Polisistik (Polycystic Ovarian Syndrome - PCOS) merupakan gangguan hormon paling tinggi di kalangan wanita yang berada pada peringkat subur. Ia juga menjadi salah satu faktor ketidaksuburan dalam kalangan wanita.

Antara ciri utama PCOS adalah pengovulan (proses bertelur) tidak berlaku atau tiada pengovulan yang tetap pada setiap bulan. Selain itu peningkatan aras hormon androgen (hormon lelaki) yang berlebihan dalam badan wanita turut menjadi punca.

Masalah Lazim

PCOS yang juga dikenal juga sebagai Sindrom Stein-Leventhal merupakan masalah paling lazim yang menyebabkan seseorang wanita itu gagal hamil, tetapi malangnya sehingga kini tidak banyak yang diperkatakan tentang hal ini.

Kajian antarabangsa menunjukkan kira-kira 20% wanita yang berusia lebih daripada 20 tahun mengalami masalah ini, dan lebih daripada 40% wanita yang mempunyai masalah kesuburan adalah disebabkan PCOS.


Gejala

Gejala sindrom ini berbeza antara wanita yang menghidapinya. Namun, punca sindrom ini masih belum diketahui secara jelas. PCOS boleh menjadi tidak ketara atau ketara dan ia berbeza antara seorang pengidap dengan pengidap yang lain.

Antara yang mungkin berlaku termasuklah kedatangan haid tidak teratur (oligomenorea) dan kadangkala ketiadaan haid (amenorea), bulu roma berlebihan tumbuh di badan (hirsutisme), jerawat yang teruk dan kronik, obesiti, keguguran berulang, kulit menjadi lebih gelap (akantosis nigrikan) dan botak menyerupai lelaki (male baldness).

Sindrom ini juga dikaitkan dengan peningkatan risiko mendapat penyakit diabetes, peningkatan aras kolesterol darah dan juga hipertensi.

Akhirnya, masalah ini akan meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit jantung atau dikenal juga sebagai penyakit kardiovaskular.

Klasifikasi

Terdapat beberapa klasifikasi bagi mendiagnosis sindrom ini. Pada 2003, pakar-pakar dari Amerika dan Eropah bersepakat menyatakan bahawa PCOS perlu mempunyai sekurang-kurangnya 2 daripada 3 ciri berikut iaitu :

(i) Masalah pengovulan, iaitu tempoh kitaran haid yang lama (contohnya kedatangan haid yang tidak tetap, setiap 2 - 3 bulan), tempoh perdarahan yang lama dan perdarahan yang sedikit.


(ii) Bukti terdapat kadar hormon lelaki (androgen) yang tinggi (sama ada secara kadar biokimia atau secara manifestasi klinikal), iaitu hirsutisme (terdapat bulu tumbuh pada kawasan yang khusus untuk lelaki seperti misai dan janggut), jerawat, kulit yang lebih gelap pada bahagian lipatan (bahagian leher, celah ketiak dan celah paha) dan juga botak di bahagian depan kepala.

(iii) Pemeriksaan imbasan ultrabunyi melalui faraj menunjukkan terdapat banyak folikel yang kecil dan tidak membesar secukupnya untuk mengeluarkan ovum dalam proses pengovulan.

Klasifikasi yang disebutkan ini juga dikenal sebagai klasifikasi Rotterdam.

Metabolisme Rendah

Kebanyakan wanita yang menghidap PCOS mempunyai metabolisme yang rendah sehingga menyebabkan masalah berlebihan berat badan (obesiti), terutamanya di kawasan pinggul. Sebenarnya, PCOS merupakan keadaan yang akan dihadapi sepanjang hidup melibatkan semua peringkat umur, bukan sahaja dalam tempoh masa kesuburan.

Kesuburan

Lebih kurang 80 peratus daripada penghidap PCOS mengalami masalah ketidaksuburan atau dikenal juga sebagai mandul (infertiliti).

Masalah ketidaksuburan memberikan impak fizikal dan sosial kepada pasangan yang mengalaminya, khususnya pihak isteri. Keadaan itu boleh menyebabkan tekanan perasaan, tidak dapat menerima hakikat kekurangan diri, berasa rendah diri, mudah berasa diri dipinggirkan dan suka bersendirian atau memencilkan diri.


Rawatan

Rawatan PCOS ini juga bergantung pada usia wanita dan keinginannya untuk hamil.

Rawatan adalah penting untuk mengurangkan risiko kanser rahim, terutamanya jika kitar haidnya terlalu lama dan mengalami perdarahan yang terlalu banyak. Selain itu, penghidap PCOS juga memerlukan rawatan jangka panjang dan motivasi yang tinggi dalam dirinya sendiri.

Ubat-ubatan sahaja tidak akan membantu penghidap PCOS, malah setiap orang juga perlu berusaha untuk mengubah gaya hidup ke arah yang lebih sihat.

Pada masa ini, terdapat pelbagai kaedah rawatan ketidaksuburan bagi pesakit yang menghidap penyakit ini. Terdapat beberapa faktor mempengaruhi pilihan rawatan yang akan digunakan. Kaedah rawatan yang dipilih biasanya di atas persetujuan pesakit.

Ubat-ubatan

Penggunaan ubatan juga merupakan kaedah untuk merawat masalah ketidaksuburan. Terdapat pelbagai jenis ubatan antaranya metformin, yang tergolong dalam kumpulan ubat perangsang insulin.

Ubat ini bertindak dengan mengembalikan kadar insulin daripada aras yang tinggi kepada normal. Namun terdapat kesan sampingan, terutamanya pada peringkat awal pengambilan ubat ini. Antaranya termasuklah loya, cirit-birit dan perut kembung.

Walaupun tiada lagi laporan tentang kesan sampingan ubat ini terhadap kandungan, namun pengambilan ubat hendaklah dihentikan apabila seseorang wanita itu disahkan hamil.


Clomiphene citrate juga merupakan ubat untuk merawat infertiliti. Kajian menunjukkan bahawa gabungan metformin dan clomiphene telah menunjukkan kejayaan pengovulan pada 90% penghidap PCOS. Pengambilan clomiphene sahaja mencatat kadar pengovulan 70 hingga 80% dan kadar kandungan yang berjaya hamil sebanyak lebih kurang 40%.

Ubat ini tidak boleh diberikan lebih daripada 12 kitar haid bagi individu yang tidak pernah hamil kerana risiko mendapat kanser ovari meningkat untuk jangka masa panjang.

Terdapat juga sebilangan pesakit yang masih tidak berjaya mencapai pengovulan walaupun diberikan clomiphene sehingga dos maksimum. Keadaan itu dikenali sebagai kerintangan clomiphene (clomiphene resistance).

Terdapat ubat lain seperti suntikan hormon gonadotrofin untuk membantu dalam perkembangan ovum. Kaedah ini berkesan tetapi mahal, memakan masa dan memerlukan kepakaran.

Bagi kaedah suntikan ini, biasanya penghidap PCOS akan menjalani rawatan secara permanian beradas (intrauterine insemination). Peluang untuk hamil bagi setiap pusingan adalah lebih kurang sebanyak 5 hingga 10% sahaja.

Cara ini disarankan sebanyak 3 hingga 4 kali sahaja dan jika masih gagal untuk hamil, maka kaedah seterusnya adalah secara bayi tabung uji atau persenyawaan in-vitro (in-vitro fertilization, IVF) yang mempunyai kadar peratus kejayaan hamil dalam 30%.


Impak Sosial

Rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu sering melihat kebolehan melahirkan anak sebagai salah satu kewajipan selepas berkahwin.

Selepas beberapa tahun berkahwin dan pasangan tersebut masih tidak mempunyai anak boleh menyebabkan masyarakat sekeliling memandang serong dan membuat pelbagai tanggapan negatif

Pesakit yang mengalami masalah ketidaksuburan akan berasa tertekan dan tidak dapat bergaul dengan masyarakat dan boleh membawa kepada pelbagai masalah lain.

Oleh itu, sokongan keluarga dan masyarakat sekeliling amat penting bagi penghidap PCOS dan pesakit lain yang mengalami masalah ini. Mentaliti masyarakat perlulah diubah supaya tidak sewenang-wenangnya mengadili orang lain dan menyebarkan pelbagai cerita.

Di samping itu, pesakit PCOS juga perlu mengetahui masalah yang dihadapinya supaya dapat diberi rawatan sewajarnya.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu