Pedih Ulu Hati Simptom GERD


oleh Nurul Anuar Kari

Adakah anda sering merasa pedih ulu hati (heartburn) atau tidak selesa di bahagian dada hingga menular ke kerongkong? Atau pernahkah anda mengalami kembung perut atau sendawa yang kerap, walaupun belum menikmati makanan.

Sekiranya anda mempunyai gejala-gejala ini selain sering rasa masam atau pahit di dalam mulut, sukar menelan makanan, sakit kerongkong dan batuk berterusan seterusnya mengalami gangguan tidur akibat simptom-simptom tersebut, anda mungkin menghidap GERD.

GERD (gastroesophageal reflux disease) merupakan penyakit biasa di Barat dan kini semakin banyak dikesan pada penduduk Asia, terutamanya golongan muda di bawah umur 40 tahun.

GERD adalah keadaan yang timbul akibat refluks atau regurgitasi kandungan perut ke salur pemakanan (esofagus) menyebabkan komplikasi atau simptom yang menyukarkan kehidupan harian pesakit.


Kenali GERD

Pada kebiasaannya, asid dalam perut hanya memasuki salur pemakanan dalam jumlah kecil sahaja dan akan segera dineutralkan kembali. Bagaimanapun dalam kes GERD, jumlah asid yang banyak disalurkan ke esofagus apabila injap terbuka dan dalam jangka masa panjang mungkin menyebabkan lapisan tisu saluran itu terhakis.

Bagi pesakit GERD, hakisan berulang sehingga ke sel-sel saraf akan menyebabkan kesakitan atau ketidakselesaan di bahagian dada.

Kesakitan ini berpunca daripada kumpulan saraf berhampiran jantung yang dikongsi bersama salur esofagus. Kumpulan saraf ini dikongsi memandangkan esofagus melalui belakang jantung sebelum bercantum ke perut.

Disebabkan kedudukan struktur seperti ini, pesakit tidak akan sakit pada perut tetapi akan merasa sakit pada tengah dada (sternum) dan kerap pedih ulu hati. Pesakit juga akan kerap merasa masam (asid) atau pahit di dalam mulut akibat masalah refluks asid ini.


Merana Dalam Diam

Ramai pesakit GERD yang 'merana dalam diam' akibat tidak mengetahui mereka menghadapi masalah refluks asid ini.

Dianggarkan 15-20% daripada populasi penduduk di Malaysia menghidap GERD dan jumlah ini mungkin lebih tinggi di bandar-bandar utama dalam kelas umur yang masih bekerja. Kajian terkini juga menunjukkan lebih 50% pesakit asma yang susah untuk dikawal menghidap GERD.

Selain itu, penyakit ini juga tinggi di kalangan pesakit laringitis kronik yang memberi kesan kepada pita suara mereka. Masalah tidur yang dihadapi pesakit GERD juga meningkat dengan jumlah kejadian pedih ulu hati yang berlaku dalam seminggu.


Punca GERD

Punca sebenar refluks masih belum diketahui tetapi berkemungkinan melibatkan fungsi sphincter atau cerutan yang memisahkan esofagus dan perut yang semakin lemah, menyebabkan asid memasuki esofagus.

Faktor lain yang dilihat meningkatkan risiko menghidap GERD termasuklah :

* Obesiti (kegemukan)

* Jantina (lelaki lebih mudah mendapat GERD)

* Usia (risiko meningkat dengan usia)

* Bangsa (kaum India lebih mudah menghidapi GERD) dan

* Gaya hidup (pengambilan alkohol dan rokok)


Rawatan

Rawatan melalui pembedahan mengetatkan cerutan struktur ini juga tidak menunjukkan kejayaan memberangsangkan kerana kebanyakan pesakit tetap perlu mengambil ubat.

Ubat Proton Pump Inhibitor (PPI) menjadi pilihan pakar sistem salur pemakanan untuk mengawal penghasilan asid oleh sel-sel di dalam perut, seterusnya mengawal masalah refluks asid pesakit GERD.

Ubat PPI digunakan untuk rawatan segera simptom utama GERD yang menyukarkan kehidupan harian pesakit dan juga untuk kawalan jangka panjang penyakit tersebut.

Esomeprazole merupakan antara contoh PPI terbaik dan dianggarkan 20% lebih berkesan dalam mengawal penghasilan asid perut. Ubat untuk rawatan GERD seperti PPI juga hanya boleh diperoleh melalui preskripsi doktor bertauliah.

Mereka yang mempunyai gejala atau simptom GERD digalakkan menemui doktor untuk pengesahan dan mendapatkan rawatan.

Ujian endoskopi juga boleh dilakukan untuk memastikan jika terdapat hakisan asid pada esofagus pesakit tetapi ujian ini tidak menjadi kewajipan untuk rawatan GERD.


Lagi info tentang GERD di sini.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu