Sawan Akibat Demam Panas


'Tiba-tiba badan dia kejang, mata memandang ke atas manakala tangan dan kaki mula menggeletar. Saya juga dapati bibirnya mula biru. Apabila dipanggil, dia tidak sedar. Saya ingat anak saya akan mati'. Ini biasanya cerita diperoleh daripada ibu bapa yang pernah melihat anak mereka diserang sawan atau kejang.

Sawan berlaku dalam beberapa keadaan. Paling kerap ditemui ialah sawan demam apabila kanak-kanak berumur antara 6 bulan hingga 5 tahun mengalami kejang ketika demam panas.

Ciri-ciri Sawan Demam

* Berlaku pada kanak-kanak berumur antara 6 bulan hingga 5 tahun
* Berlaku ketika demam panas
* Biasanya membabitkan kedua-dua kaki dan tangan
* Sawan tidak melebihi 15 minit
* Tiada kesan sampingan seperti lemah sebahagian badan (kecuali kes sawan demam kompleks)


Tindakan

Pastikan anak berada di kawasan selamat, jauh daripada perabot. Ini bagi mengelakkan kecederaan jika tangan atau kaki terkena perabot.

Palingkan mukanya ke kiri atau kanan supaya saluran pernafasan tidak tersumbat akibat lidah yang jatuh ke belakang atau air liur.

Jika anak sedang makan, keluarkan makanan daripada mulut.

Jangan masukkan sudu, jari atau apa-apa benda ke mulutnya. Ini tidak membantu mengelaknya tergigit lidah, sebaliknya boleh menyebabkan kecederaan dalam mulut.

Jika demam, basahkan badan anak dengan air paip untuk menurunkan suhu. Elak menggunakan ais kerana ini menyebabkan suhu naik semula selepas kesan ais hilang.


Bawa ke hospital atau klinik terdekat jika :

* Kali pertama anak mengalami sawan
* Sawan tidak membabitkan kedua-dua tangan dan kaki
* Sawan berterusan lebih 15 minit
* Anak tidak sedar sepenuhnya selepas sawan berhenti
* Anggota badan anak kelihatan lemah selepas sawan
* Jika ubun masih terbuka, ia menjadi keras atau bengkak
* Sawan berlaku tanpa demam
* Sawan berlaku selepas jatuh atau terhantuk
* Anak tidak suka melihat cahaya atau menangis tanpa henti
* Anak mempunyai kelewatan perkembangan serta tanda pada kulit

Rawatan

Biasanya doktor akan memberi oksigen serta ubat untuk menghentikan sawan. Doktor juga memberi ubat demam dan membasahkan badan anak untuk mengurangkan demam.


Rawatan sawan demam tidak membabitkan pengambilan ubat berpanjangan,
sebaliknya ibu bapa dinasihati memberi ubat demam setiap 6 jam dan membasahkan badan supaya suhu badan tidak naik terlalu tinggi.

Dalam kes tertentu, ibu bapa juga mungkin diberi ubat untuk memberhentikan sawan jika ia masih berlaku.

Oleh kerana masalah sawan demam biasanya faktor keturunan, kemungkinan mendapat anak yang mengalami sawan demam bertambah jika ibu bapa atau adik beradik pernah mengalami masalah sama.


Lagi info tentang SAWAN di sini.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu