Pembedahan Torakoskopik Dibantu Video


Sebut saja rawatan yang membabitkan pembedahan, ramai pesakit menjadi gusar. Mentaliti ini sering menahan mereka daripada mendapatkan rawatan awal hingga semuanya terlambat.

Bagaimanapun, dengan peningkatan teknologi dunia perubatan, pembedahan torakoskopik dibantu video atau video-assisted thoracoscopic surgery (VATS) adalah sejenis pembedahan torasik untuk paru-paru yang boleh mengubah persepsi ini.

Video Dalam Dada

Dibangunkan sekitar 1990, prosedur ini secara teknikalnya memasukkan kamera video ke dalam dada pesakit menerusi skop. Kaedah ini membolehkan doktor melihat isi kandungan rongga dada dengan hanya membuat belahan atau bukaan yang sangat kecil.


Proses ini juga membolehkan pakar bedah mengeluarkan bahagian yang berdekatan dengan tepi paru-paru serta mengujinya untuk mengesan kehadiran kanser menggunakan peralatan pembedahan yang lebih kecil.

Prosedur membabitkan VATS berguna untuk mendiagnosa jangkitan pneumonia tertentu, diagnosa jangkitan atau tumor di dinding dada serta merawat paru-paru yang gagal secara berulang.

Berbanding kaedah thoracotomy yang lebih terbuka, VATS tidak membabitkan banyak otot dinding dada yang dipisahkan manakala rusuk tidak dibuka. Ini menyebabkan kurangnya keperitan, tiada kesan sampingan dan tempoh kesakitan pasca pembedahan serta membenarkan pesakit kembali sihat dan aktif lebih cepat.

Kurang Risiko

Pembedahan tradisional seperti thoracotomy dan sternotomy memerlukan pakar bedah membuat bukaan 15 hingga 20 sentimeter tetapi menerusi VATS, hanya bukaan kecil diperlukan cukup untuk memuatkan kamera bersaiz 5 milimeter atau skop gentian optik berukuran 10 milimeter.


Berikutan skop yang dimasukkan kecil, kemungkinan dinding dada mendapat jangkitan dan terjejas juga dapat dikurangkan. Pesakit dapat mengelak daripada masalah otot dan retak tulang sekali gus kurang sakit, tempoh menginap di hospital yang singkat serta sembuh dengan cepat selain mampu kembali kepada rutin harian.

Bagaimanapun, kedua-dua jenis bukaan insisi berpotensi menyebabkan kesakitan berpanjangan dan boleh menyebabkan tulang retak yang memerlukan sekurang-kurangnya 6 minggu untuk sembuh.

Sehubungan itu, pesakit juga perlu mengurangkan aktiviti berat serta terlalu aktif.

Tidak Semua Sesuai

Bagaimanapun, tidak semua pesakit sesuai menjalani prosedur ini, seperti pesakit yang pernah melalui pembedahan paru-paru. Ini kerana prosedur ini mungkin menyebabkan pelbagai komplikasi, selain pesakit yang mampu bertahan dengan satu paru-paru sementara sebelah lagi mengalami kegagalan sewaktu pembedahan.


Pesakit yang menjalani pasca operasi kemoterapi atau radioterapi untuk paru-paru juga bukanlah calon sesuai untuk VATS.

Kurang Pakar

Biarpun kaedah rawatan VATS makin dikenali di Malaysia, masih ramai yang memerlukan latihan bagi membiasakan diri dengan instrumen yang perlu dikendalikan ketika prosedur itu.

Antara punca mengapa masih ramai pakar kurang berminat ialah kerana rasa tidak selesa dengan kaedah berkenaan atau terlalu biasa dengan pembedahan tradisional terbuka yang membolehkan mereka melihat sendiri organ.

Ketika ini, tidak ramai pakar bedah yang menjalankan VATS. Prosedur ini bagaimanapun sudah dikendalikan di PPUM. Sayangnya, biarpun teknologi sedia wujud di sini, tetapi masih ramai pesakit yang sesuai menggunakannya, didapati terlewat mendapatkan rawatan.


Rasa Takut

Sememangnya adalah lumrah bahawa naluri manusia pasti akan merasa takut dengan sesuatu yang di luar pengetahuan mereka. Apa yang dapat dilakukan oleh pakar ialah cuba mengurangkan kebimbangan dan rasa takut pesakit melalui kaedah rawatan yang tidak invasif, kurang sakit dan cepat sembuh.

Sebaik sembuh, diharapkan pengalaman ini dapat dikongsi bersama lebih ramai insan yang mungkin memerlukan rawatan supaya lebih ramai lagi pesakit boleh mendapat manfaat.


Lagi info tentang TORAKOSKOPIK di sini.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu