Memujuk Orang Bunuh Diri


Keinginan membunuh diri adalah suatu kecemasan. Ia timbul apabila seseorang berputus asa dan beranggapan kehidupan tidak lagi berguna. Bagi mereka kematian adalah satu-satunya jalan penyelesaian.

Ada pelbagai sebab seseorang mempunyai keinginan membunuh diri. Sebab yang paling utama adalah masalah perhubungan seperti putus cinta atau pertelingkahan keluarga.

Hampir separuh daripada mereka mengalami masalah kemurungan. Ada yang disebabkan penyakit mental lain seperti ketagihan dadah, judi, bipolar dan skizofrenia.

Wanita Lebih Berisiko

Risiko bunuh diri lebih tinggi kalangan mangsa yang berumur bawah 35 tahun.


Kajian menunjukkan wanita 3 kali lebih berpotensi untuk cuba membunuh diri tetapi lelaki biasanya lebih ramai melakukannya.

Kes bunuh diri di kalangan warga emas pula biasanya disebabkan ketidakupayaan akibat kesakitan berpanjangan, kesunyian dan kemurungan.

Apa Perlu Dilakukan?

Jika anda berhadapan dengan situasi di atas, janganlah teragak-agak untuk bertanya adakah rakan anda benar-benar serius memikirkan rancangannya untuk membunuh diri.

Berikan perhatian terhadap jawapannya. Jika jawapannya "ya", dapatkan bantuan dengan segera.


Lihat di sekeliling sekiranya terdapat cara mudah untuk mangsa membunuh diri. Alihkan pandangan tersebut. Ia mungkin senjata tajam, racun atau tempat tinggi yang membolehkan mangsa terjun. Jangan tinggalkan mangsa keseorangan dan cuba pujuk untuk dibawa ke hospital.

Jika gagal, cuba dapatkan perhatian orang sekeliling untuk tolong menghubungi polis.

Periksa sekiranya mangsa berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol.

Jika anda merasakan mangsa telah pun mengambil sesuatu yang berbahaya, tanya apakah jenis racun tersebut serta kuantitinya. Maklumat ini mungkin membantu rawatan di hospital.

Banyakkan bercakap agar mangsa dapat meluahkan perasaan. Beritahu mangsa yang kehadiran anda di situ adalah untuk menolong. Yakinkan mangsa yang masalah itu akan dapat diatasi. Jangan sekali-kali berjanji yang anda akan menyembunyikan perbuatan tersebut daripada keluarganya.


Mangsa Bukan Bodoh

Berhati-hati semasa berbicara. Ada beberapa perkara yang tidak seharusnya disebut kerana mangsa mungkin menukar makna ayat dan meneruskan cubaan bunuh diri.

Anda pastinya tidak mahu menyaksikan adegan tersebut di depan mata. Ini kerana pada waktu itu, mangsa tidak lagi mampu berfikir seperti orang yang waras. Sebagai contoh, jangan beritahu ada ramai lagi orang yang bernasib lebih malang di dunia ini. Ingatlah yang mangsa bukannya bodoh.

Mangsa hanya berada dalam keadaan kemurungan yang teruk. Mangsa pastinya tahu ada ramai manusia yang kebuluran di Afrika dan askar yang terkorban semasa berperang di Afghanistan.

Ini hanya akan membuatkannya berfikir betapa tidak adilnya dunia dan mangsa akan menjadi lebih murung.


Lupa Agama

Begitu juga dengan berkata "bunuh diri berdosa besar dan mangsa gerenti akan masuk neraka".

Perlu diingat sekiranya mangsa seorang yang jahil, adakah dia akan percayakan kata-kata anda? Tetapi sekiranya mangsa seorang yang beragama, pasti penderitaannya begitu hebat sekali sehingga sanggup mempertimbangkan pilihan membunuh diri.

Percayalah dalam keadaan waras tidak ada seorang pun yang mahu membunuh diri. Kemurungan akan menghilangkan kewarasan seseorang.

Orang seperti ini sukar dijangka dan mampu melakukan apa yang tidak ingin dibuat oleh manusia biasa. Berdoalah agar kita tidak termasuk di dalam golongan ini.


Lagi info tentang BUNUH DIRI di sini.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu