Minuman Dalam Botol Lebih Mudah Tercemar


1 Januari 2013

London : Minuman dalam botol mungkin lebih mudah tercemar dan menjadi sumber pencemaran berbanding air paip, dakwa satu kajian baru.

Walaupun kos bagi minuman botol lebih tinggi berbanding air paip, namun ia lebih tercemar dan menjadi sumber jangkitan, lapor akhbar Daily Mail yang memetik kajian oleh penyelidik pasaran Mintel.

Secara purata, penduduk Britain minum 33 liter minuman botol setiap tahun, tidak kira sama ada ia air mineral, minuman bergas atau air paip disulingkan.

Jalani Ujian Bulanan

Hampir satu perempat daripada penduduk yang minum air botol di rumah berkata, mereka melakukannya kerana percaya ia adalah lebih baik berbanding air paip.

Tetapi, apa yang pengguna tidak sedari adalah air paip diperiksa setiap hari di bawah pemeriksaan ketat. Ia juga mengandungi klorin yang menghalang sebarang penyebaran pencemaran bahaya seperti jangkitan bakteria.


Ini berbeza sekali dengan air botol kerana pengeluarnya hanya dikehendaki menjalani ujian bulanan terhadap sumber produk itu.

Sebaik saja ia diisi dan diketatkan, minuman botol terbabit akan berada di dalam tempat simpanan selama beberapa bulan sebelum ia dijual.

Tiada Bahan Tambahan

Air botol tidak mengandungi bahan tambahan pembasmi kuman seperti klorin. Selepas air botol dibuka, ia tidak lagi mengekalkan mutunya dan perlu diminum dalam masa beberapa hari.

Pernah beberapa bungkusan air botol terpaksa ditarik balik dari pasar raya Britain disebabkan kebimbangan mengenai pencemaran. - AGENSI


Lagi info tentang AIR BOTOL di sini.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu