Ujian Kehamilan Melalui Air Kencing


Semua ujian kehamilan mengukur aras hormon kehamilan gonadotropin korionik manusia (human Chorionic Gonadotrophin - hCG) dalam badan.

Ujian kehamilan di rumah ialah ujian air kencing. Kaedah ini mengesan aras hCG dalam air kencing, tetapi hanya positif apabila hormon itu mencapai satu aras tertentu.

Namun, ada sesetengah ujian kehamilan di rumah yang agak lebih sensitif. Ujian yang lebih sensitif mungkin dapat mengesan aras hCG yang rendah beberapa hari sebelum haid bermula.

Aras hCG

Sama ada anda menggunakan ujian kehamilan biasa di rumah atau yang lebih sensitif, jika mereka menggunakannya terlalu awal semasa peringkat kehamilan, aras hCG dalam air kencing mungkin belum cukup tinggi untuk mendapatkan keputusan yang positif.


Hampir kesemua ujian kehamilan air kencing akan memberi keputusan yang tepat jika seseorang wanita melakukannya sekitar masa biasa haid bermula, kira-kira 2 minggu selepas mereka berovulasi (bertelur) atau mencapai waktu subur.

Ujian kehamilan di rumah mengesan kehadiran hormon kehamilan, iaitu hCG dalam air kencing. Badan mereka mula menghasilkan hCG apabila telur yang telah disenyawakan menempel (implantasi) pada rahim.

Punca HCG

HCG dirembeskan oleh sel-sel yang akan membentuk plasenta (uri). Keadaan ini boleh dikesan dalam air kencing daripada kira-kira enam hingga 14 hari selepas persenyawaan berlaku.


Dalam masa beberapa hari selepas proses penempelan, aras hCG akan meningkat dengan cepat. Kebanyakan alat penguji kehamilan cukup sensitif untuk mengesan hCG dalam air kencing pada hari pertama haid sepatutnya datang.

Keputusan Negatif

Jika mendapati keputusan negatif pada kali pertama membuat ujian, ini mungkin kerana aras hCG belum mencecah tahap di mana ia boleh dikesan. Kadang-kadang tahapnya belum cukup tinggi untuk dikesan pada hari pertama haid sepatutnya datang.

Jika haid terlewat dan keputusan yang diperolehi negatif, mereka perlu menunggu beberapa hari lagi, kemudian boleh mengujinya semula.


Sensitiviti Alat Penguji

Seseorang wanita akan mendapati sesetengah alat penguji kehamilan lebih sensitif daripada yang lain. Alat penguji yang paling sensitif boleh menunjukkan hamil walaupun terdapat sedikit sahaja hCG dalam badan mereka.

Mereka boleh mengetahui berapa sensitif alat penguji kehamilan itu dengan membaca maklumat yang ada pada kotak alat penguji tersebut. Mereka akan dapati bahawa konsentrasi hCG diukur dalam unit mili-Internasional (mIU) per mililiter. Alat penguji dengan sensitiviti (kepekaan) 20 mIU/ml adalah lebih sensitif daripada yang berkesensitifan 50 mIU/ml.

Masa Uji Kehamilan

Kebanyakan alat penguji boleh menunjukkan sama ada seseorang wanita hamil atau tidak pada hari pertama haid mereka lewat datang.

Alat penguji yang lebih sensitif mungkin boleh mengesan hCG pada tahap yang rendah beberapa hari sebelum haid dijadualkan tiba tetapi ujian seawal ini mungkin tidak memberikan keputusan yang tepat.

Cuba jangan minum terlalu banyak sebelum membuat ujian kerana ini boleh mencairkan hCG dalam air kencing.


Sesetengah alat penguji mencadangkan wanita melakukan ujian pada waktu pagi, apabila mereka pergi ke tandas untuk kali pertama pada hari itu. Ini terutamanya jika mereka menguji pada hari-hari yang awal. Keadaan ini disebabkan aras hCG menjadi lebih pekat dalam air kencing semasa mereka tidur pada waktu malam. Oleh itu, lebih mudah dikesan dalam air kencing pertama.

Haid Tidak Teratur

Jika haid tidak teratur, mungkin sukar untuk mengenal pasti bilakah haid seseorang wanita sepatutnya tiba. Sebagai panduan, mereka boleh menggunakan kitaran yang paling panjang dalam beberapa bulan kebelakangan ini sebelum membuat ujian.

Jika mereka baru berhenti mengambil pil perancang, mereka mungkin tidak tahu berapa panjangkah kitaran haid secara semula jadinya, dan mungkin membuat ujian sama ada terlalu awal atau terlalu lewat. Jika ujian negatif, mereka sepatutnya membuat ujian lagi dalam masa tiga hari.






Jom bincang artikel di atas...



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Lagi Info Semasa di FB SihatSelalu